Wednesday, 28 November 2007

ISTANA BARU : SIASAT KOS PROJEK SEBELUM IA DIMULAKAN - MAHFUZ



Ketua penerangannya, Mahfuz Omar berkata, PAC perlu menjalankan siasatan sebelum projek terbabit dimulakan dan bukannya selepas ia siap dibina seperti amalan sekarang.

PAC dipengerusikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad.

Menurut Mahfuz, pembinaan projek tersebut dijadual bermula Jumaat ini

"Kalau projek sudah siap, nak siasat buat apa lagi kerana ia sudah tidak berguna," katanya dalam sidang media di ibupejabat PAS di ibu negara hari ini.

Mahfuz membuat sidang tersebut bagi menjelaskan kegagalan Kementerian Kerjaraya menjawab surat PAS mengapa kos projek Istana Negara terlalu tinggi dan pemberian kontrak kepada kontraktor yang tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Katanya, kos pembinaan Istana Negara yang terletak di Jalan Kucing di ibu negara itu berharga RM600 juta berbanding harga asal RM400 juta.

Beliau berkata, kontraktornya iaitu Maya Maju Sdn Bhd bukan sahaja tidak mempunyai lesen Kelas A tetapi juga tidak berdaftar dengan PPK.

Pandang serius

Mahfuz yang juga bekas ketua Pemuda PAS berkata, beliau merancang untuk membuat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai penyelewengan yang berlaku dalam projek pembinaan Istana Negara itu.

"Tetapi saya lebih gembira jika kerajaan menghentikan sementara cadangan pembinaan istana tersebut sehingga badan siasatan bebas dibentuk oleh Parlimen untuk menyiasat projek tersebut," katanya.

Katanya, PAS telah dua kali menghantar surat kepada Kementerian Kerjaraya bagi mendapatkan penjelasan tetapi sehingga ini belum menerima sebarang jawapan.

Mahfuz berkata, PAS memandang serius perkara ini kerana ia bukan sahaja membabitkan wang rakyat tetapi juga keselamatan Yang di-Pertuan Agong dan pekerja istana.

"Siapakah yang akan bertanggungjawab jika berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap istana itu. Kerajaan tidak boleh mendakwa kontraktor kerana ia tidak berdaftar dengan PKK," katanya.

Mahfuz berkata, beliau telah meminta Ahli-ahli Parlimen PAS membangkitkan isu pembinaan Istana Negara itu di persidangan Dewan Rakyat.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59