Thursday, 1 November 2007

Datuk Ramli di panggil ke ibupejabat BPR pagi ini


Kuala Lumpur : Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID) Datuk Ramli Yusuff dijangka didakwa hari ini atas tuduhan gagal mengisytiharkan hartanya.

Beliau dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Para wartawan berkumpul di ibupejabat BPR di Putrajaya sejak awal pagi tadi apabila tersebar berita bahawa Ramli telah dipanggil ke ke pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini.

Kira-kira jam 11.20 pagi, Ramli tiba di ibupejabat BPR itu, dengan ditemani oleh isterinya serta empat orang peguam.

Difahamkan, selepas merakam kenyataan Ramli, BPR menahannya pada jam 11.45 pagi dan akan didakwa di mahkamah kerana gagal memberi maklumat mengenai hartanya dalam kenyataan bersumpahnya.

Mengikut laporan media dan sumber-sumber yang layak dipercayai, Badan Pencegah Rasuah telah menyiapkan siasatannya berhubung pengisytiharan harta Ramli.

BPR juga telah mengemukakan laporannya kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk tindakan selanjutnya. Abdul Ghani dikatakan telah memberi lampu hijau kepada BPR untuk mendakwa Ramli hari ini.

Berita mengenai seorang pegawai kanan polis disiasat berhubung pemilikan hartanya telah diperkatakan sejak beberapa bulan yang lalu.

Selasa lalu, Ramli memanggil satu sidang akhir untuk mengesahkan bahawa pegawai kanan yang dimaksudkan itu adalah dirinya tetapi menafikan yang beliau memiliki harta bernilai RM27 juta.

Peguam didakwa

Beliau turut mengecam BPR kerana membocorkan maklumat berhubung siasatan tersebut kepada pihak akhbar.

Susulan kepada siasatan itu, BPR telah mendakwa seorang peguam Ramli - Rosli Dahlan - pada 13 Oktober lalu kerana gagal memberi maklumat mengenai hartanya dalam kenyataan bersumpahnya.

Rosli, 46, seorang rakan fima guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill, didakwa gagal mematuhi arahan dalam notis bertarikh 17 Julai 2007, yang dikeluarkan di bawah Seksyen 32(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997, supaya memberi maklumat penuh mengenai hartanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, BPR telah mengambil kenyataan dari kakak dan adik perempuan Ramli semalam.

Dalam satu kenyataan melalui peguamnya semalam, Ramli berkata tindakan BPR itu boleh dipersoalkan. Katanya, ini kerana Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau berpuashati dengan siasatan BPR dan kertas siasatan telah diserahkan kepadanya.

Menurut Ramli, kira-kira jam 9.15 pagi tiga pegawai BPR dari pejabat Kota Baharu ke rumah kakaknya di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dan meminta kakaknya itu mengikut mereka bagi tujuan mengambil kenyataan.

Beliau berkata kakaknya Rohmah @ Hasmah Yusuff, 58, telah memberitahu pegawai-pegawai itu beliau perlu menjaga bapanya berusia 83 tahun yang mempunyai pelbagai penyakit.

Beri kenyataan

"Kakak saya menawarkan untuk memberi kenyataannya di rumah, dengan alasan kesihatan ayah saya, tetapi beliau diberitahu akan ditangkap jika tidak mengikut mereka," kata Ramli dalam kenyataan itu.

Ramli berkata pegawai-pegawai BPR itu juga mengunjungi adik perempuannya, Roslina Yusoff, 42, di pejabatnya tetapi beliau bercuti.

"Adik saya diberitahu oleh pejabatnya mengenai kunjungan itu dan beliau menghubungi peguamnya dan mereka menasihatinya supaya memberikan kerjasama kepada BPR," katanya.

Ramli berkata sebelum ini, kakak dan adik perempuannya itu telah memberikan kenyataan mereka kepada BPR.

Di Kota Bharu, kakak Ramli mengelak apabila dihampiri pemberita yang menunggu kira-kira dua jam di luar pejabat BPR Kelantan.

Pengarah BPR Kelantan, Md Yusof Md Zain ketika dihubungi Bernama juga enggan mengesahkan perkara itu kerana menurutnya semua siasatan berhubung kes itu dijalankan pegawai BPR dari ibu pejabat.

Sementara itu, bapa Ramli, Yusuff Ismail, 82, ketika ditanya mengenai perkara itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai tuduhan terhadap anaknya itu melalui laporan media.

"Bagi saya terserah kepada tuhan agar perkara yang didakwa itu tidak berlaku kepadanya. Apa yang membimbangkan saya perkara tak ada diada-adakan," katanya kepada Bernama.

Yusuff, yang juga bekas anggota polis ketika zaman pemerintahan Jepun berkata beliau tinggal bersama anak perempuannya di rumah banglo itu sejak beberapa tahun lepas setelah isterinya meninggal dunia.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59