Tuesday, 2 October 2007

Ribuan sertai protes terhadap junta Burma



Kira-kira 2,000 orang berkumpul di kedutaan Burma di Kuala Lumpur pagi ini kerana membantah kekejaman junta tentera negara itu terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi. Mereka kemudian berarak ke kedutaaan Russia dan China untuk mengadakan protes yang sama.

Mereka termasuk anggota masyarakat Burma di negara ini, yang sebahagian besarnya memakai pakaian tradisional sambil melaungkan protes terhadap tindakan ganas junta tentera terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan di negara itu.

"Kami mahu demokrasi," laung mereka yang menyertai protes tersebut di luar bangunan kedutaan China, yang merupakan sekutu rapat Burma.

Mereka juga mendesak supaya Burma disingkirkan daripada menganggotai Asean serta mendesak pembebasan pemimpin pro-demokrasi Burma, Aung San Suu Kyi.

"Kami benci junta. Kami semua mahu mereka ditumbangkan," kata Sandar Su, 19, kepada AFP. Dia membawa pelekat yang menuduh kerajaan junta di Burma sebagai "pembunuh".

Seorang pelajar kolej, yang menurutnya lari dari Burma ketika berusia lima tahun, mendesak tentera asing campurtangan di Burma dan menuduhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak berkesan dalam menangani keganasan di negara itu.

Menurutnya, pihak junta telah "memperbodohkan PBB untuk mempercayai yang mereka akan membawa perubahan".

Perlu bantuan dunia

Protes yang sama diadakan Jumaat dan Isnin lalu, di mana sekurang-kurangnya 150 aktivis Malaysia mengadakan protes di luar kedutaan Burma, menuntut pihak junta tentera menghentikan penindasannya.

Wakil khas PBB, Ibrahim Gambari, kini berada di Burma atas arahan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon ekoran tindakan ganas junta tentera Burma terhadap penunjuk perasaan anti-kerajaan sejak Rabu lalu.

Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan beratus-ratusnya lagi ditahan.

"Kami berharap pemimpin dunia akan membantu menumbangkan kerajaan tentera itu. Dunia mesti menolong kami," Andy Myo, 30, yang bekerja sebagai pelayan di Malaysia sejak meninggalkan Burma pada 2004.

Myo membawa poster yang berbunyi: "Kami adalah tawanan di negara sendiri"

Manakala Mung, 29, pula berkata, dia tiba di Malaysia Jun lalu untuk mendapatkan status sebagai pelarian.

"Saya tidak mempunyai pekerjaan dan hidup susah. Saya mahu demokrasi," katanya, sambil membawa pelekat yang mengutuk Russia dan China.

Kementerian Luar Russia pada mulanya menyifatkan apa yang berlaku di Burma itu sebagai "masalah dalaman" tetapi mengubah pendirian pada hari Jumaat, dengan menggesa langkah segera diambil untuk menghalang keganasan yang berterusan.

Pemuda BA serah memorandum kutuk kekejaman junta

Sementara itu Pemuda BA menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur hari ini.

Sungguhpun dihalang oleh kira-kira 50 orang anggota polis termasuk Polis Simpanan Persekutuan (FRU), Pemuda Barisan Alternatif (BA) berjaya menyerahkan Memorandum Bantahan Terhadap Regim Junta di pekarangan Kedutaan Myanmar.

Memorandum yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin itu diterima oleh Kaunselor Menteri, Kedutaan Myanmar, Win Myint di pekarangan kedutaan disaksikan oleh anggota polis yang kelihatan cuba mengawal keadaan.

Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut ialah Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua.

Antara lain memorandum tersebut menyatakan Pemuda BA mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan oleh junta Myanmar di atas serangan terhadap peserta demonstrasi pada minggu lepas yang menyebabkan kecederaan dan kematian.

Mereka juga mendesak junta supaya mengembalikan Myanmar ke arah negara yang lebih demokratik melalui proses pilihan raya yang bersih dan adil, bagi membolehkan rakyat negara itu menentukan kerajaan mereka.

Di samping itu, kerajaan junta didesak agar membebaskan Aung San Su Kyi yang cuba membawa perubahan dan proses demokrasi di Myanmar.

Selain itu, memorandum tersebut menyatakan Asean sepatutnya mengambil peduli cadangan yang pernah diutarakan oleh bekas Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 1997 yang mendesak ASEAN campur tangan dalam isu ini. Jika cadangannya diterima dan disokong oleh anggota yang lain seperti Thailand dan Filipina, pasti banyak nyawa boleh diselamatkan.

Dalam pada itu, Pemuda BA turut menekankan agar Menteri Luar, Dato' Syed Hamid Albar supaya menyingkirkan Myanmar daripada Asean sekiranya kerajaan junta masih berdegil dan bertindak kejam.

"Kami juga mengharapkan agar isu di Myanmar ini akan menjadi isu utama yang akan dibincangkan dalam Persidangan Asean yang dijadualkan berlangsung di Singapura, November ini.

"Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mendesak sayap pemuda dalam Asean agar memberi tekanan kepada kerajaan mereka untuk menyingkirkan Myanmar dalam Asean," kata Salahuddin.

Sehubungan itu, Salahuddin menyatakan, memorandum bantahan itu juga akan diserahkan kepada sekretariat Asean di Jakarta. Salahuddin juga akan mengemukakan usul mengenai isu tersebut agar dibahaskan di sidang Dewan Rakyat pada 22 Oktober akan datang.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59