Wednesday, 3 October 2007

Panel siasat video tiada kuasa panggil saksi


KUALA LUMPUR: Dakwaan dan kebimbangan pembangkang bahawa panel penyiasat ketulenan video yang ditubuhkan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat akhirnya diakui oleh pengerusi panel tersebut iaitu Tan Sri Haidar Mohd Noor.

Mesyuarat panel yang diketuai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, dan ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Said Hamdan.

Mesyuarat kira-kira tiga jam itu antara lain membincangkan prosedur dan langkah-langkah yang akan diambil oleh panel tersebut untuk memastikan kesahihan rakaman klip video tersebut, pertama kali didedahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 19 Sept.

Perkara-perkara pokok yang telah dipersetujui dalam perbincangan awal itu termasuklah menggunakan piawaian yang diperuntukkan bawah Akta Bukti (1950) dalam menentusahkan video berkenaan.

Selain Haidar, panel itu itu dianggotai bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan aktivis Tan Sri Lee Lam Thye.

Ia juga berhak untuk menentukan sama ada bukti-bukti lain boleh dikemukakan dalam proses berkenaan.

Selain itu, panel tersebut juga tidak diberikan kuasa untuk memberi jaminan perlindungan kepada pemberi maklumat atau memaksa sesiapa untuk tampil memberi kenyataan atau bukti.

Satu lagi mesyuarat dengan keanggotaan yang sama akan diadakan dua minggu lagi setelah Jabatan Peguam Negara, polis dan BPR telah membuat persediaan bagi membantu panel tersebut yang diumumkan penubuhannya pada 25 Sept.

"Mereka akan beri kerjasama kepada kita, dan tentulah mereka perlukan masa untuk berbuat begitu. Saya harap kami dapat bertemu lagi dalam masa dua minggu setelah mereka bersedia," kata Haidar dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut yang diadakan di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat persendirian tentang video berkenaan supaya menghubungi pegawai urusetia panel berkenaan, Datuk Abdullah Sani Ab Hamid di telefon 03 88 85 10 46 (tel), 03 88 85 10 48 (faks) atau e-mel: sani@bheuu.gov.my.

Dalam sidang media sama, Shankar berkata saksi yang ingin tampil hendaklah bertanggungjawab ke atas maklumat atau bahan bukti yang dikemukakan dan memberi amaran supaya saluran berkenaan tidak disalahgunakan untuk menabur fitnah.

"Tolonglah tampil ke hadapan, tetapi tolong pastikan bahan-bahan yang anda kemukakan boleh dipercayai, relevan, dan kami akan buat keputusan sama ada ia boleh diterima pakai," katanya.

"Jangan sekadar sebut Encik X, Encik Y dan seterusnya. Tolong berikan nama, nombor kad pengenalan, dan di mana orang tersebut boleh dihubungi. Saya pernah jadi peguam bagi (akhbar) New Straits Times, jadi saya tahu serba sedikit tentang undang-undang fitnah... Seperti anda tahu, isu ini kecoh di blog dan Internet dan sebagainya.

"Kami juga perlu guna piawaian, dan piawaian yang akan kami gunakan ada terkandung dalam Akta Bukti (1950)."

Shankar turut menjelaskan bahawa panel tersebut tidak ada apa-apa kuasa undang-undang untuk memaksa sesiapa tampil memberi keterangan atau bahan bukti.

"Satu-satunya kuasa yang diberikan kepada kami adalah untuk menjalankan tugas seperti yang diarahkan dan membuat laporan kepada badan yang melantik kami. Jadi kami tidak ada kuasa untuk menjalankan angkat sumpah. Kami tidak berkuasa untuk memaksa saksi tampil... dan kami juga tidak ada kekebalan undang-undang.

Klip video selama lapan minit itu menunjukkan seorang peguam veteran berbual melalui telefon untuk mengatur pelantikan bagi jawatan-jawatan tertinggi dalam badan kehakiman, seperti didakwa penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59