Wednesday, 10 October 2007

PAK LAH TIDAK BERHATI PERUT


ARTIKEL YANG BENAR-BENAR MENYENTUH PERASAAN KAMI

Peraturan gila Kem Tahanan Kamunting di pagi raya

Menjelang Aidilfitri ini, apa sebenarnya yang bermain-main dalam fikiran anda? Mungkin terkenangkan anggota keluarga terdekat yang telah meninggalkan kita buat selamanya, atau khusyuk melayari perasaan tika saat-saat indah menyambut raya di zaman kanak-kanak dahulu, atau masih sibuk berteka-teki dengan tarikh pilihan raya umum ke-12? enje

Kesyahduan merangkul segala ingatan dan memori syahdu itu seringkali membuatkan air mata mengalir deras di pagi 1 Syawal, bersama lafaz takbir di awal subuh.

Terbayang wajah kudus mak ayah yang sudah pergi, keluarga terdekat yang turut mengiringi mereka ke alam baqa, juga nasib saudara seakidah di seluruh ceruk rantau dunia yang dijajah semula, tidak lupa mangsa kezaliman dalam negara yang terus dipasung pemerintah.

Gali pelbagai khazanah

Aidilfitri yang merupakan hari kemenangan, merayakan perit jerih melawan nafsu selepas menggali pelbagai khazanah tak ternilai pada madrasah Ramadan, sepatutnya menyuntik keinsafan terhadap nasib duka keluarga mangsa kezaliman itu.

Mereka mungkin tidak pernah merayu untuk dikasihani, namun naluri kemanusiaan, apatah lagi ikatan ukhuwwah sesama Muslim, seharusnya mengalirkan rasa keprihatinan yang tinggi untuk turut membantu apa yang terdaya.

Ya, tidak ramai yang dapat mengingati nama-nama tahanan ISA yang disumbat di Kem Tahanan Kamunting. Benar, tiada lagi "nama-nama besar" yang dihumban ke penjuru gelap lagi menyiksakan itu. Biarpun mereka terus membilang hari menanti saat dibebaskan, rupanya di dunia bebas ini, mangsa kezaliman itu jarang diingati lagi, sedangkan tempoh penahanan hampir melewati genap enam tahun.

Pada hari-hari biasa nasib mereka, terutama keluarga yang ditinggalkan, kurang diendahkan masyarakat, malah ramai tidak menyedari kehadiran golongan yang teraniaya ini. Memang ada sekelompok kecil, misalnya melalui GMI, terus menjalankan aktiviti, menziarahi dan bertanya khabar, namun kesedaran masih belum meluas, bukan sahaja untuk melobi dan mendesak ISA dikuburkan, tetapi usaha menyantuni mangsa akta zalim ini begitu terbatas.

Harakah sendiri kerap alpa. Sekadar melaporkan satu dua perkembangan, bantahan dan demonstrasi, kemudiannya hilang tanpa susulan mantap. Kami cuba membaiki kelemahan berkenaan sekali gus mempertingkatkan azam untuk mengangkat laporan berita yang jarang didedahkan akhbar-akhbar utama.

Gagal menyentuh rasa

Malah ramai menganggap perjuangan memansuhkan ISA seperti lagu lama yang dimainkan kembali dengan tempo usang, tidak seperti lagu-lagu raya yang evergreen itu. Ia gagal menyentuh rasa, menghiris simpati, apatah lagi untuk mendorong publik bangkit menyatakan sikap, mengetuk ego sang penguasa yang mati hati dan perasaan itu.

Apa pun, pedulikan segala "kelemahan dan ketempangan" itu, kita bukan mahu bicarakan "isu-isu politikal yang memeningkan". Dalam suasana Aidilfitri, yang mahu dijentik ialah naluri kemanusiaan "yang biasa-biasa saja".

Tulisan pendek ini hanya mahu menarik perhatian anda terhadap keluarga tahanan ISA, merenung nasib malang yang bertimpa-timpa itu, dan paling penting, apa yang boleh kita lakukan untuk meringankan bebanan, selain membuatkan mereka terasa masih ramai insan yang bukan saja bersimpati malah turut resah dan terganggu tidurnya dengan kisah-kisah pilu mereka.

Bayangkan ... dan cuba hitungkan hari-hari yang mereka dizalimi-ditinggalkan; kini hampir melangkaui 6 tahun, berapa hari ya? Nah, sudah lebih 2,100 hari. Kasih yang diragut pergi secara tiba-tiba, atas rasa prasangka yang tebal, tanpa bukti, hanya dengan daleh palsu, untuk buktikan kita juga serius memerangi keganasan seperti Amerika.

Namun bagi pemerintah (lebih tepat lagi Menteri Keselamatan Dalam Negeri, yang juga Perdana Menter) yang kering hatinya, kelam jiwa perasaannya, dangkal dan tumpul rasa simpatinya, sejumlah 2,100 hari yang disesiakan dalam tahanan itu langsung tidak memberi sebarang erti. Penganiayaan dan kezaliman adalah lumrah bagi golongan yang hanya mementingkan survival kuasa.

Menatap wajah anak-anak yang ditinggalkan ini cukup menusuk jiwa walaupun mereka nampak riang-ria seperti kanak-kanak lain. Masakan mereka mahu bermuram-durja selamanya. Bersama ibu, kehidupan mesti diteruskan, tanpa ayah di sisi. Segalanya harus diusahakan sendiri, dan bagi keluarga yang tidak mempunyai saudara-mara, mungkin kerana mereka merupakan perantau di sini, ia makin menyukarkan.

Lebih pedih dan memilukan apabila mengenangkan, meskipun anak-anak ini dapat menziarahi ayah di Kamunting, pertemuan itu cukup menyedihkan. Di pagi Syawal, selepas bersusah-payah menaiki bas dari Kuala Lumpur misalnya, mereka langsung tidak boleh menyentuh orang yang dirindui sejak lama.

Anak-anak dan isteri dihalang daripada bersalam-salaman, juga ditegah daripada membawa juadah istimewa raya. Mereka dihadang tabir pemisah, ada lapisan kaca yang membungkus keangkuhan sang penguasa!

Masya-Allah, sudahlah keluarga zalim ini diazab sebegitu rupa, untuk berkumpul di hari raya secara penuh kasih sayang pun tidak dibenarkan. Hoiii, kerja gila apa ini? Tak terfikir dek akal waras bagaimana peraturan celaka yang dihasilkan oleh fikiran jahat-jijik itu dikuat-kuasakan.

Apa ertinya hari raya jika keluarga daif meninggalkan kampung halaman sehingga tak sempat solat Aid datang mendapatkan suami atau ayah, sedangkan pertemuan itu mahu dikosongkan makna dan ertinya?

"Sepatutnya kami ke Kamunting raya pertama, tapi anak-anak bagitau saya, tak payahlah ibu, kita pergi raya kedua saja," kata seorang isteri tahanan ISA yang saya temui petang semalam, di Hulu Langat, ketika membawa sedikit sumbangan. "Budak-budak mahu raya di sini dulu, dapat juga solat Aidilfitri dan merasai nikmat pagi raya di rumah sendiri. Kalau pergi Kamunting pada pagi 1 Syawal pun bukannya dapat bersalaman dengan ayah mereka."

Mesej bodoh-hodoh

Hei Dollah (siapa lagi kalau bukan Perdana Menteri kita)! Mana perginya sentuhan kemanusiaan kamu? Apa maknanya senyum ceriamu menyambut isteri baru dan kelahiran cucu tersayang? Yah, apa yang mahu kamu tunjukkan daripada peraturan gila-tak-masuk-akal ini? Belum cukupkah mesej bodoh-hodoh yang kamu titipkan selama ini?

Sepatutnya segala peraturan dipermudahkan terutama di hari mulia ini.

Kalau boleh, bukan saja biarkan mereka beramah-mesra melepaskan rindu-dendam, malah biarkan mereka bermalam bersama supaya dapat bercerita sepuas-puasnya, makan-minum seenaknya dan pihak Kem menyediakan juadah lazat untuk dinikmati bersama. Seeloknya keluarga disediakan penginapan khas pada malam raya lagi, takbir tahmid beriringan dan anak-anak serta isteri dapat mengucup tangan ketua keluarga di keheningan subuh.

Tentu ada yang menyifatkan khayalan saya itu juga tak-masuk-akal. Biarkanlah, sesekali kita pun mahu berfantasi, tapi ... bukankah semua tahanan belum dibuktikan bersalah, dikurung hanya atas syak-wasangka? Sememangnya Dollah Badawi tidak pernah memikirkan bagaimana peritnya kehidupan keluarga yang dimangsakan.

Lalu, persetankan soal institusi kekeluargaan yang mahu diruntuhkan dan konsep modal insan yang sering dilafaz tanpa makna itu apabila pendidikan anak-anak terabai, dan masa isteri lebih tertumpu untuk membanting tulang mencari sesuap nasi. Jangan salahkan anak-anak ini jika jiwa mereka diasak amarah dan dendam berpanjangan.

Boleh saja saya terus mengusik emosi anda, tapi saya tak mahu membazirkan masa. Terus terang saya mahu maklumkan bahawa tujuan saya menulis catatan ini hanya satu, biarpun secara terburu-buru, yakni hanya mahu memujuk anda untuk menyumbang buat mereka yang dizalimi pemerintah itu. Silakan hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336.

Terima kasih banyak.

Ahmad Lutfi Othman

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59