Monday, 1 October 2007

LAYARI INTERNET DI DALAM KERETA


Di Malaysia, terdapat syarikat yang mengeluarkan produk PC yang mempunyai akses internet di dalam kereta, seperti syarikat Inspiration de Famosa Sdn Bhd di Kelana Jaya melalui IdeF Car PC.

Jauh berbeza dengan pemain DVD atau cakera padat (CD) kereta, IdeF Car PC adalah revolusi komputer mudah alih sebagai alternatif kepada komputer riba, palmtop dan telefon bimbit.

Teknologi dibawa masuk ke Malaysia dari Taiwan ini memperkenalkan model CPCPM800 dan CPCPM600 DVR yang tahan gegaran dan kepanasan bagi menyesuaikan kegunaannya dalam kenderaan yang bergerak.

Kelebihan IdeF Car PC adalah ia boleh dijadikan alat untuk membantu menguruskan perniagaan dan komunikasi seperti urusan yang membabitkan kertas kerja, perdagangan, pengumpulan data, faksimili, mencetak atau membuat salinan.

Idef Car PC boleh mengakses Internet menggunakan sambungan Wifi atau USB Bluetooth dihubungkan ke telefon bimbit atau PDA, untuk melayari laman web atau sembang, e-mel, skype Voip atau persidangan dan taklimat video.

Selain itu, teknologi generasi ketiga (3G) turut digunakan untuk mengakses Internet yang disambungkan daripada telefon bimbit.

Bagi tujuan hiburan dan multimedia, fungsi Idef Car PC sama dengan pemain DVD/CD/VCD yang biasa dipasang pada kenderaan untuk memainkan audio visual termasuk MP3, MP4, MMS, kamera digital dan permainan video.

Malah, Idef Car PC boleh dijadikan sebagai stesen arahan dan seliaan bagi tujuan pemantauan keselamatan kediaman dan kawasan atau pengawasan pesakit.

Kepelbagaian fungsi Idef Car PC menjadikan peranti ini sesuai untuk mereka yang sentiasa mengejar peralatan berteknologi tinggi dan terkini.

Apa lagi menjelang musim perayaan Aidilfitri pada tahun ini, Idef Car PC adalah ‘aksesori’ canggih yang paling sesuai untuk ditayangkan kepada orang kampung apabila balik beraya nanti.

Fungsi Idef Car PC juga boleh dipertingkatkan dijadikan sebagai kelengkapan pihak berkuasa seperti polis, kastam atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menguatkuasakan undang-undang di jalan raya.

Set Idef Car PC model CPCPM800 didatangkan dengan monitor TFT LCD 7 inci (pilihan pelbagai saiz), papan kekunci dengan tetikus tanpa wayar, alat kawalan jauh dan kabel.

Komputer ini dihidup dan dimatikan secara automatik apabila enjin dihidup atau dimatikan, tanpa menjejaskan sistem atau perkakasannya.

Set komputer ini juga mempunyai ketahanan panas yang mampu digunakan secara berterusan selama 24 jam tanpa masalah.

Sebuah set komputer boleh terdiri daripada satu atau lebih monitor skrin sentuh untuk dipasang pada bahagian belakang tempat duduk kenderaan.

Bagaimanapun, skrin sentuh yang aktif hanya terhad kepada satu monitor pada satu masa.

CPCPM800 bersaiz 1 Din didokong oleh Pentium Mobile 800Mhz (PM800) dengan Zero L2 cache, chipset Intel 852GM GMCH dengan ICH4, DDR RAM 512MB yang boleh dipertingkatkan sehingga 1GB serta cakera keras 40GB.

Set komputer ini didatangkan dengan papan kekunci dan tetikus tanpa wayar 2.4GHz dinamakan IdeF KB2.4 yang menggunakan kuasa empat bateri bersaiz AA serta boleh dipadankan dengan Windows 98/Me/NT/2000 dan XP.

Papan kekunci mini ini memberi kebebasan kepada pengguna untuk mengendalikannya pada lingkungan jarak 10 meter, sekali gus memberi ruang cukup besar serta selesa dikendalikan daripada mana-mana sudut dalam kereta atau kenderaan pelbagai guna (MPV).

Sama seperti set komputer biasa, Idef Car PC memerlukan perisian antivirus dan boleh dipertingkatkan keupayaan dan pemiliknya bebas untuk menggunakan Sistem Operasi (OS) pilihan yang bersesuaian .

Pengarah Eksekutif IdeF, Jack Lim, berkata Idef Car PC yang dijual pada harga lebih RM6,000 dijamin stabil dan selamat ketika digunakan dalam kenderaan bergerak kerana ia sudah diuji bagi ketahanan kepanasan, gegaran dan getaran.

“Jika peminat kereta boleh membelanjakan RM20,000 semata-mata untuk mempertingkatkan sistem bunyi, apalah sangat RM6,000 lebih untuk memiliki sebuah set komputer yang bergaya dan canggih,” katanya.

Lim berkata, set komputer itu boleh dipasang dalam tempoh dua jam di mana syarikatnya mampu memasang pada lima kereta setiap hari.

Katanya, IdeF mensasarkan untuk memasang set komputer itu kepada 1,000 kereta dalam tempoh dua tahun di mana pada waktu ini pihaknya mampu memasang lima set komputer sehari.

Beliau berkata, IdeF juga sedang merancang untuk memperluaskan operasinya melalui rangkaian rakan kongsi berkonsep francais bagi mengedar set komputer itu ke seluruh negara.

Menurut beliau, pengwujudan rangkaian rakan kongsi itu akan membolehkan syarikat menumpukan kepada khidmat lepas jualan, penyelesaian masalah dan meneruskan penyelidikan dan pembangunan bagi meningkatkan keupayaan Idef Car PC.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59