Wednesday, 24 October 2007

KENALI PEMIMPIN : USTAZ KAMARUDDIN SEDIK - KETUA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI MELAKA 2007/2009




Nama Penuh : Kamarudin Bin Hj Sedik.
Lahir : 26 Februari 1969.
Asal : Kampung Umbai Melaka.
Isteri : Safina Bte Hj Hashim.
Anak : 3 orang. (Zarkasyi, Zunaizah, Zajlatul Abidah)
No. Telefon : 013-6643574
Hobi : Membaca dan beriadah
Kerja : Mudir Madrasah Ar-Rahmah, Solok Gaong, Melaka

Pendidikan : Sekolah Rendah Kebangsaan Hj Baginda Kg Umbai Melaka.
Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam (JAIM ) Merlimau
Madrasah An Nuriah, Sungai Udang
Madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh, Kelantan.
Maahad Al Latiffiah, Perak
Maahad As Somadiah, Pattani Thailand
Universiti Al Azhar, Mesir dalam jurusan Syariah

Pengalaman politik : Ketua PAS Cawangan Bkt Tembakau, Umbai
Ketua Pemuda PAS Kawasan Jasin, 2000-2006
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka 2003-2005
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka 2005-sekarang

Pengalaman Pilihanraya : Bertanding pada Pilihanraya 2004 di DUN Serkam tewas pada
Dato’ Ahmad Hamzah dengan majoriti 4,347 undi

Mengapa berminat dengan Politik?
Kebetulan saya datang dari keluarga yang minat politik walaupun tidak berjawatan penting dalam parti. Lebih-lebih lagi setelah mendalami ilmu agama, ia memantapkan lagi kecenderungan berpolitik kerana ia merupakan tuntutan agama. Maknanya saya berpolitik lebih kepada tuntutan agama yang saya pelajari.

Boleh ceritakan sedikit bagaimana Ustaz terlibat secara langsung dengan Politik?
Saya pulang dati Mesir pada Ogos 1999, bila berlakunya Pilihanraya Umum ke 10 saya diamanahkan sebagai Wakil Calon kepada Dr Abdul Halim Ramli yang bertanding di Dewan Undangan Negeri Serkam. Ketika itu saya mula membiasakan diri berceramah di pentas. Mungkin faktor itu ahli PAS merasakan bakat kepimpinan saya perlu digilap untuk masa depan. Maka pada tahun 2000 saya telah diamanahkan beberapa jawatan penting seperti Ketua PAS Cawangan Bukit Tembakau dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin.

Adakah Ustaz tidak rasa terbeban dengan jawatan yang dipikul?
Saya tidak pernah minta apa-apa jawatan. Kadang-kadang terasa juga terbeban tetapi saya juga merasakan ini suatu pengalaman serta cabaran. Saya dah korban masa yang lama untuk menimba ilmu. Persoalaanya ke mana ilmu itu perlu saya bawa? Sekarang saya rasa sudah sampai giliran saya untuk menggalas perjuangan ini tidak kira di mana saja posisi yang di beri. Kalau saya tumpu mengajar masjid saja macam sahabat-sahabat yang lain, saya rasa tak padan lori besar muatan sikit.

Ustaz juga merupakan seorang Mudir (Pengetua) di sebuah Sekolah Agama Rakyat, sudah tentu banyak kerja yang dipaksa dilakukan untuk mentadbir sebuah sekolah?
Ya. Mentadbir sebuah sekolah swasta tidak seperti sekolah kementerian yang mempunyai prasarana yang ada semua di depan mata. Saya dan pentadbir sekolah terpaksa mencari dana untuk menguruskan sekolah, juga kadang-kadang gangguan sumbang dari pihak tertentu pun terpaksa kami hadapi. Tapi Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan dengan baik.

Dengar cerita sekolah ustaz berjaya melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dari segi akademik dan syakhsiah?
Alhamdulillah, berkat keikhlasan guru-guru, usaha murid-murid dan doa ibubapa, pelajar-pelajar kami mampu membuktikan bahawa pelajar-pelajar SAR yang dianaktirikan oleh Kerajaan BN juga mampu mencapai keputusan cemerlang dalam semua bidang, walaupu baru 8 tahun beroperasi.

Boleh ceritakan sedikit kejayaan pelajar ustaz?
Pelajar Maahad Ar-Rahmah pernah dikategorikan antara 6 orang pelajar terbaik YIK dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU). Dalam PMR pula ada yang memperolehi 9A dan 8A. Dalam SPM tahun lepas ada yang memperolehi 10A.

Apa rahsianya?
Kami tak guna slogan Malaysia Boleh tapi kami terapkan slogan Islam Boleh. Pertama yang saya tekankan adalah faktor kombinasi antara keikhlasan guru yang mengajar, murid yang belajar dan ibubapa yang menghantar anak-anak. Kedua guru serta pelajar perlu berjiwa besar, jangan jadikan faktor kekurangan prasarana sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan, berapa ramai pelajar gagal di sekolah kementerian walaupun bangunannya indah, guru terlatih serta pengurusan yang sistematik. Itu semua kosmetik saja, pokok pangkalnya hati mahu berubah.

Ustaz sudah pasti sibuk dengan tugas seharian sebagai guru dan pejuang, bagaimana bahagikan masa?
Bila kita dah letakkan diri dalam posisi perjuangan Islam, putaran masa kita tak sama dengan orang lain, orang lain seminggu 7 hari, kita terpaksa bergerak seminggu 8 hari, terpaksa korban sikit. Di sini seorang pimpinan perlu gunakan kebijaksanaan. Sebenarnya saya berpegang dengan konsep Islam iaitu Hablum minAllah wa Hablum minannas, maknanya perjuangan untuk agama tanpa abaikan tanggungjawab sebagao ketua keluarga. Sebelah pagi ke sekolah, petang bersama keluarga, malam untuk parti kecuali Sabtu dan Ahad banyak program jamaah.

Isteri dan anak-anak tak marah dan masam muka?
Alhamdulillah mereka dah faham dan biasa dengan situasi macam ini. Balik malam biasanya tak sempat jumpa anak sebelum mereka tidur.

Kata orang untuk memujuk isteri banyak strategi digunakan. Jadi strategi mana yang Ustaz gunakan?
Biasanya saya bawa pergi malam luar. Sesekali ke Bandar atau ke pantai .....tengok angin la .....tolong buat kerja rumah pun ada juga kerana dah biasa buat masa belajar dulu.

Ustaz juga dikatakan antara pemidato yang hebat di Melaka?
Biasa aja.......saya cuma sampaikan yang terbaik untuk rakyat agar mereka faham mesej kebenaran yang PAS bawa. Penumpuan kepada isu dalam negeri Melaka mungkin menarik perhatian.

Dari mana Ustaz belajar berpidato?
Sebenarnya semenjak umur 18 tahun saya dah minat apabila selalu dengar ceramah PAS. Tak pernah kursus pun. Pernah johan pidato masa belajar di Perak dulu tahun 1992, di Mesir pun pernah menjadi johan pidato anjuran PMRAM sempena sambutan hari kemerdekaan tahun 1996. Ini semua saya lakukan sebagai persediaan untuk menjadi penceramah PAS.

Apa perancangan Dewan Pemuda Melaka pada Pilihanraya Umum ke-12 ini?
Sebenarnya Pemuda merupakan sayap kanan parti, jadi tugas kami adalah untuk merealisasikan hasrat dan perancangan parti iaitu memastikan PAS Melaka berjaya menghantar wakilnya dalam Dewan Undangan Negeri pada Pilihanraya Umum ke 12 nanti. Justeru, semua ahli pemuda diarahkan turun padang menggerakkan Unit Peti Undi (UPU) dan Majlis Tindakan DUN (MTD) untuk menghadapi pilihanraya akan datang, khususnya program mendekati golongan muda. Fokus lebih kepada DUN-DUN ’targett’.

Boleh nyatakan DUN mana yang di’target’kan?
Kita target semua DUN, tapi ada beberapa DUN yang special ....ketawa ......

DUN mana?
Itu kena tanya Pengarah Jentera Pilihanraya Negeri, semua maklumat ada pada dia.

Ustaz bertanding kali ini? DUN mana?
Insya Allah ...itu terserah kepada keputusan pimpinan. Mana-mana pun saya ikut. Kalau suruh lawan Ketua Menteri pun tak ada masalah......cuma jangan pakai hantu raya sudah .......ketawa.

Berkenaan isu dalam Melaka, boleh ustaz nyatakan isu-isu terkini yang hangat?
Telah banyak saya perkatakan dalam ceramah saya. Boleh katakan semua agensi kerajaan negeri ada rekod. Sebab itu saya cadangkan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Integriti Nasional dalam perjumpaan di Melaka baru-baru ini agar diwujudkan satu badan hisbah untuk pantau harta semua pemimpin kerajaan negeri. Melaka ni kaya dengan isu negatif yang merugikan rakyat. Contohnya isu rombongan Ketua Menteri ke Amerika Latin dan Paris guna RM1 juta untuk belajar tanam pokok bunga, hutang negeri lebih RM1 bilion, penjualan anak Syarikat Kerajaan PKNM di bawah harga pasaran yang teruk lagi isu yang mengaibkan iaitu isu babi di Paya Mengkuang dan puluhan tahun tak selesai, kes babi pun tak terurus macamana nak urus rakyat? Kalau Orang Melayu berniaga tak ikut syarat, tarik lesen, roboh gerai tapi bangsa lain tak ikut syarat majlis daerah tak tarik lesen .....Umno ni hipokrit.

Ustaz yakin dengan isu-isu ini PAS Melaka akan menang beberapa kerusi pada PRU ke 12?
Kalau tengok isu tak ada sebab kita tak menang. Cuma pendedahan kepada rakyat kita kurang lakukan. Lebih-lebih lagi saluran PAS agak terhad. Sebab itu kerja memberi maklumat dan penerangan itu penting seperti ceramah umum, ceramah kelompok, edaran risalah dan sebagainya di samping hubungan dengan Allah S.W.T. Justeru kerja berat ini mesti semua ahli PAS terlibat jangan harapkan orang berjawatan sahaja yang lakukan.

Kalau tidak jadi ahli Politik apa yang mungkin Ustaz Kamaruddin ceburi?
Mungkin saya terus belajar dan mengajar, majukan sekolah dan lahirkan Ansorullah bukan ansor Islam Hadhari.

Akhir sekali boleh Ustaz cadangkan kaedah dan langkah yang perlu untuk megatasi kemelut di Malaysia seperti masalah jenayah, masalah murtad dan kedaulatan Melayu yang semakin terhakis?
Saya tertarik dengan slogan Gerakan Ikhwan Muslimin dalam pilihanraya Mesir iaitu Al Islam Huwal Hellu (Islam adalah penyelesaian), rakyat faham maka hampir 80 kerusi Parlimen Ikhwan Muslimin menang. Selagi tidak kembali kepada peraturan Islam, tidak ada penyelesaian, walaupun tukar 10 Perdana Menteri lagi. Tak percaya cuba beri kita peluang memerintah sekali. Masalahnya rakyat Malaysia ni takut buat perubahan......

Terimakasih Ustaz
Sama-sama

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59