Monday, 8 October 2007

ISU VIDEO : TSU KON LEBIH WARAS DARI PAK LAH


Gerakan gesa k'jaan timbang tubuh s'jaya diraja

Nampaknya Pemangku Presiden Gerakan, Koh Tsu Kon lebih waras dari Pak Lah yang kononnya dulu berjanji untuk membenteras rasuah.

Semalam Gerakan membuktikan bahawa ia sebuah parti yang lebih waras dari Umno apabila menggesa kerajaan supaya 'menimbang dengan serius' penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video yang didakwa untuk mengatur pelantikan hakim.

Gerakan merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang pertama membuat gesaan tersebut, sejak Ketua UmumPKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan klip video tersebut pada 19 September lalu.

Pendedahan tersebut telah mencetuskan desakan pelbagai pihak supaya sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kandungan klip video itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menolak desakan tersebut dan sebaliknya mengumumkan penubuhan panel bebas untuk menyiasat kesahihan klip video itu.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata parti itu menyokong penubuhan panel tersebut sebagai langkah pertama untuk menyiasat kesahihan kandungan klip video berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menggesa supaya langkah seterusnya diambil untuk menyiasat perkara tersebut.

Persepsi umum

Dr Koh berkata pihaknya memandang berat persepsi umum mengenai badan kehakiman ekoran pendedahan tersebut serta dakwaan-dakwaan yang lain.

Beliau menegaskan demikian dalam ucapannya di perhimpunan agung parti Gerakan di Kuala Lumpur yang dirasmikan Abdullah.

Jika perlu, katanya, penubuhan suruhanjaya diraja hendaklah dipertimbangkan dengan serius.

Koh yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, menegaskan bahawa integriti badan kehakiman adalah penting kerana ia dilihat sebagai pelindung dan pelaksana keadilan.

Tambahan lagi, tegasnya, sistem perundangan dengan badan kehakiman yang bebas adalah salah satu faktor paling penting dalam menarik dan mengekalkan keyakinan pelabur tempatan dan luar negara.

Perdana Menteri yang duduk di atas pentas, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika Dr Koh membangkitkan cadangan tersebut.

Beliau juga tidak menjawab gesaan Dr Koh itu atau menyentuh mengenai kontroversi klip video tersebut dalam ucapan perasmiannya. Perdana Menteri beredar kemudiannya tanpa bercakap kepada media.

Klip video tersebut menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa untuk mengatur pelantikan hakim-hakim.

Dari kontek perbualan tersebut, Anwar mendakwa orang yang bercakap dengan Lingam adalah Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59