Thursday, 11 October 2007

ISU-ISU ORANG MELAYU TIDAK PENTING BAGI PEMUDA UMNO


Dewan Pemuda PAS kecewa kerana pergerakan Pemuda Umno tidak berminat mengadakan perbincangan mengenai isu-isu orang Melayu dan negara yang semakin mendesak, sejak kebekangan ini.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah menyuarakan keinginan untuk mengadakan perbincangan dengan Pemuda Umno mengenai aspek kepentingan negara dan sekaligus kepada orang Melayu.

"Fokus utama perbincangan antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu ini ialah membabitkan isu rasuah yang semakin membara, kehakiman, pendidikan dan integriti polis yang semakin dipertikaikan orang ramai.

"Sebenarnya Pemuda PAS ingin berbincang tanpa sebarang syarat dengan Pemuda Umno dan tanpa mempunyai agenda kepentingan politik.

"Tetapi pendekatan dan pendirian Pemuda Umno mengenai perkara ini amat mendukacitakan, bukan sahaja Pemuda PAS tetapi juga orang Melayu keseluruhannya," katanya ketika dihubungi semalam.

Isnin lalu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah menghantar surat kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan berkaitan perpaduan Melayu dan nasional antara kedua-dua pihak.

Salahuddin berkata, surat yang dihantar kepada Pemuda itu adalah yang kedua kerana dua tahun lalu surat yang serupa dihantar bagi membincangkan isu remaja Melayu tetapi juga tidak mendapat respons.

"Saya tidak tahu mengapa Pemuda Umno enggan mengadakan perbincangan tersebut sedangkan mereka tahu kebanyakan remaja Melayu merupakan anak ahli Pemuda PAS atau Pemuda Umno.

Respons Pemuda Umno

"Pada hemat saya, tindakan pasif Pemuda Umno itu ada hubung kait dengan hambatan dengan rakan-rakan mereka dalam Barisan Nasional (BN)," katanya.

Salahuddin berkata, tindakan sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak, malah boleh menyebabkan isu berkenaan menjadi semakin buruk.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno perlu berani tampil ke depan dan memandang jauh dengan memikirkan untuk menangani isu-isu masyarakat yang berlaku sekarang.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus ketika dihubungi berkata, beliau sangat ragu dengan keikhlasan Pemuda PAS untuk mengadakan perbincangan dengan Pemuda Umno mengenai isu kepentingan Melayu dan negara.

"Saya bimbang ia akan dijadikan modal politik pergerakan itu terutama menjelang pilihanraya umum akan datang yang semakin hampir.

"Kita juga bimbang pertemuan dan perbincangan tersebut akan digunakan untuk mencari kelemahan Pemuda Umno," katanya.

Bagaimanapun, Syukur berkata, Pemuda Umno sanggup berbincang dengan Pemuda PAS jika parti itu benar-benar jujur untuk membantu menyelesaikan masalah orang Melayu.

Katanya, tiada sebab untuk Pemuda Umno tidak mahu membincangkan isu berkenaan kerana selama ini pun isu-isu terbabit menjadi agenda utama perjuangan pergerakan itu

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59