Tuesday, 2 October 2007

BN TERPAKSA TUNDUK KEPADA PENTERNAK BABI TAKUT KEHILANGAN UNDI


MELAKA : Akibat takut kehilangan undi dan sokongan kaum Cina Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir pemindahan lebihan ternakan babi di Paya Mengkuang, Alor Gajah, Melaka sehingga 31 Mac tahun depan.

Sebelum ini, penternak di kawasan berkenaan diberi tempoh hingga Khamis ini (4 Oktober) untuk mengurangkan jumlah ternakan mereka kepada 48,000 ekor.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa khas kabinet mengenai isu babi, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Seri Abu Seman Yusop; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah.

Mesyuarat itu juga untuk bersetuju melanjutkan tempoh bagi 24 ladang ternakan babi di luar kawasan Paya Mengkuang - iaitu di Bukit Beruang, Man Lok dan Londang dekat Alor Gajah - ditutup sehingga 31 Disember depan.

Bagaimanapun, semua penternak di semua kawasan terbabit, termasuk Paya Mengkuang, dikehendaki menjual babi jantan mereka dalam tempoh tujuh hari, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Fong hari ini.

Keputusan ini jelas menunjukkan kerajaan BN begitu takut dengan kecenderungan penternak-penternak babi yang begitu rapat dengan pembangkang terutama DAP semenjak isu ini tercetus.

Semenjak isu ini tercetus, kepimpinan DAP Pusat dan Negeri hampir setiap hari turun ke Paya Mengkuang bertemu penternak babi. Gambar-gambar mereka juga saban hari terpampang di dada akhbar berbahasa Cina.

Malah kepimpinan PAS seperti AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman dan beberapa pimpinan PAS Melaka juga kerap kali turun padang ke Paya Mengkuang untuk berdialog dan berbincang dengan penternak-penternak babi. Kelab Penyokong PAS Kuam Cina juga tidak ketinggalan mengadakan dialog bersama penduduk di Paya Mengkuang.

Sementara itu Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka, Ustaz Khirul Che Salleh dalam kenyataan malam ini menyatakan bahawa BN tidak berani menanggung risiko kehilangan undi kaum cina, sebab itu mereka terpaksa mengalah dengan desakan dan tuntutan penternak.

"BN yang bimbang dengan kecenderungan kaum Cina kepada pembangkang seperti hasil kajian Merdeka Center, nampaknya semakin takut jika isu babi tidak memihak kepada kaum cina sudah tentu mereka semakin membenci BN. Maka atas dasar itu mereka terpaksa berlembut dan mengaku kalah" tegas Ustaz Khirul yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil.

Beliau bagaimana mengucapkan tahniah kepada penternak babi di Paya Mengkuang dan Kawasan sekitarnya yang tetap bertegas dengan pendirian dan hak mereka serta tidak tunduk kepada arahan kerajaan sebelum ini supaya menghapuskan semua babi sebelum 21 September lalu.

"Mereka mempertahankan hak mereka kerana mata pencarian dan kehidupan mereka bergantung kepada hasil babi, jadi itu hak mereka. Masalah cara, pengurusan dan masalah alam sekitar itu menjadi tanggungjawab kerajaan. Mereka baru sekarang kerajaan sedar ianya melanggar peraturan sedangkan ia dah wujud 50 tahun".

"Jelas sekali bahawa kerajaan bertindak atas desakan politik, untuk meraih undi bukannya atas sebab undang-undang, mereka hendakkan undi Orang Melayu, jadi mereka 'create' isu ini habis-habisan. Lepas itu bila Cina memberontak mereka tunduk dan patuh. Jadi undi Melayu dapat, undi Cina pun dapat. Inilah politik Pecah dan Perintah namanya" tambah Khirul panjang lebar.

Beliau juga mengingatkan Orang Melayu dan Cina di kawasan itu dan di Melaka amnya, supaya tidak terjerat dengan isu ini, kerana BN sebenarnya pandai bermain dengan isu. BN merasakan dengan keputusan untuk menangguhkan pengurangan babi dan penutupan ladang ini mereka berjaya menjadi Juara Orang Melayu dan Orang Cina. Akhirnya undi mereka dapat kerana rakyat merasakan BN berjaya meyakinkan mereka. Tetapi hakikatnya sandiwara BN ini hanyalah untuk mengabui mata rakyat.

Percepat ambilalih

Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Negeri Melaka juga bersetuju untuk mempercepatkan proses pengambilalihan tanah dan semua kemudahan di 24 ladang ternakan babi terbabit.

Manakala lapan ladang ternakan babi dalam kawasan Paya Mengkuang yang belum meningkatkan kemudahannya diarahkan menjual kesemua 13,000 ekor babi sebelum 31 Disember ini.

Ini adalah kali kedua kerajaan negeri Melaka bersetuju melanjutkan tempoh bagi penternak babi membawa keluar ternakan masing-masing dari semua kawasan berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah melanjutkan tempoh tersebut dari 21 September kepada 4 Oktober.

Pada 4 September lalu, kerajaan negeri juga menangguhkan operasi untuk memusnahkan lebihan ternakan babi di kawasan berkenaan, setelah MCA berjanji untuk mengurangkan sendiri jumlah ternakan itu kepada 48,000 ekor.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

m1ng1e3 said...

Saya cadangkan supaya Kerajaan melanjutkan tempoh selama 50 tahun lagi. Baru genap 100 tahun. Barulah lah dapat masuk rekod Guiness world record sebagai Sebuah Negara Islam yang dapat menternak ababi selama 100 tahun. Apa macam ada setuju semua gang?

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59