Tuesday, 9 October 2007

BERSEDIA HADAPI PILIHANRAYA MENGEJUT


Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) - gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang - meramalkan kerajaan akan mengadakan pilihanraya mengejut akhir tahun ini bagi mengelak timbul lebih banyak isu besar dan menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

"Saya meramalkan (pilihanraya umum) pada akhir November atau awal atau pertengahan Disember supaya tidak timbul lagi isu-isu besar yang boleh menjejaskan kerajaan," kata wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Bersih, Sivarasa Rasiah.

"Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengadakan pilihanraya umum secara mengejut pada 1999 setelah tercetus isu Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau yang juga naib presiden PKR dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

PKR merupakan salah satu gabungan Bersih yang menuntut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melaksanakan pilihanraya yang adil dan bersih, termasuk kebebasan media, senarai pemilih yang telus dan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya umum.

Sivarasa yang juga seorang peguam berkata, antara isu yang mendorong kerajaan untuk mengadakan pilihanraya mengejut ialah isu rasuah seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, peristiwa rusuhan di Batu Buruk dan klip video pelantikan hakim.

Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu lebih lama kerana bimbang rakyat semakin marah.

Perhimpunan rakyat

Serentak dengan itu, Bersih akan mengadakan perhimpunan rakyat di Dataran Merdeka di ibu negara 10 November ini bagi mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilhanraya yang adil dan bersih dalam pilihanraya umum akan datang.

Selain orang ramai, ia juga akan dihadiri oleh pemimpin utama parti politik dan NGO dari seluruh negara.

"Satu memorandum akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendesak pilihanraya yang bersih dan adil diadakan," katanya.

Sivarasa berkata, pihaknya akan meminta Suruhanjaya Hak Asasi dan Kemanusiaan Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam bertindak menjadi pemerhati dalam perhimpunan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan PAS, Dr Zulkifli Ahmad yang hadir sama dalam sidang media tersebut berkata, pihaknya berharap SPR mengadakan percubaan kaedah penggunaan dakwat kekal untuk mengundi dalam pilihanraya umum kelak.

Sehingga ini, katanya, SPR belum memanggil wakil parti politik untuk menunjukkan cara-cara menggunakan dakwat pada hari mengundi nanti.

"Berapa lama dakwat yang dicelup boleh kekal kerana ada dakwaan ia boleh tahan dua jam sahaja," katanya.

Penggunaan dakwat kekal merupakan salah satu tuntutan parti pembangkang kerana mendakwa kaedah yang digunakan sekarang membolehkan pemilih mengundi lebih daripada sekali.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59