Wednesday, 24 October 2007

Anwar tidak akan serahkan versi penuh klip video Lingam


Kuala Lumpur : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menyerahkan versi penuh klip video perbualan peguam Datuk VK Lingam - sepertimana yang diarahkan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) - apabila tarikh akhir untuk beliau berbuat demikian, tamat esok.

Beliau diberi tempoh hingga esok untuk menyerahkan versi penuh rakaman selama 14 minit itu. Jika gagal berbuat demikian, Anwar boleh disabitkan di bawah Akta Mencegah Rasuah yang membawa hukuman dua tahun penjara atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

“Kami akan menyerahkan klip video rakaman selama lapan minit dalam 'thumb drive' (dan klip itu adalah yang) telah disaksi oleh umum," kata Pembantu Peribadi Anwar, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi hari ini.

“Kami tidak akan melakukannya (menyerahkan versi penuh) sehinggalah tuntutan kami selama ini dipenuhi (untuk menjamin perlindungan dan memberi imuniti perundangan kepada sumber-sumber klip video tersebut)."

Pegawai BPR dijangka datang untuk mendapatkan klip video itu di pejabat Anwar di Petaling Jaya, kata Nik Nazmi.

Anwar menerima notis arahan itu dari BPR Isnin lalu, selepas pegawai badan tersebut menemui bekas timbalan perdana menteri itu sebanyak dua kali di pejabatnya selepas beliau mendedahkan mengenai klip video itu pada 19 September.

Nik Nazmi bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, yang dilaporkan oleh akhbar hari ini, sebagai berkata, Anwar boleh memainkan versi penuh klip video itu kepada BPR, dan itu sudah mencukupi untuk mengesahkan kesahihan rakaman tersebut.

Lindungi pemberi maklumat

Dalam sidang akhbar Isnin lalu, Anwar berkata salinan klip video yang akan diserahkannya esok "boleh disahkan kesahihannya" supaya pihak berkuasa tidak mempunyai sebab untuk tidak meneruskan siasatan.

Anwar juga berkata, beliau akan menghubungi dua sumber klip video itu untuk mendapatkan salinan asal, tetapi keputusan untuk mendedahkan baki rakaman tersebut adalah di tangan mereka.

“Mereka (sumber klip video) mahu diberi perlindungan, (dan), say tidak boleh menjamin keselamatan peribadi mereka," kata Anwar sambil menegaskan perlunya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja yang mempunyai kuasa untuk memberi imuniti mutlak kepada pemberi maklumat.

Anwar telah mendedahkan klip video tersebut pada 19 September lalu, yang menurutnya, merupakan bahagian pertama daripada rakaman selama 14 minit.

Menurut, baki rakaman tersebut tidak boleh didedah kerana ia akan mendedahkan identiti pemberi maklumat tersebut.

Klip video itu menunjukkan perbualan telefon Lingam, didakwa dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, mengenai pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.

Ahmad Fairuz, yang merupakan Hakim Besar Malaya ketika klip video itu dikatakan dirakam, telah menafikan sebarang pembabitannya, melalui Nazri.

Anwar adalah orang ketiga menerima notis arahan dari BPR. Sebelum ini, notis yang sama telah diterima oleh Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan pembantu Anwar - Sim Tze Tzin - yang mengarahkan mereka mendedahkan sumber maklumat tersebut.

Bagaimanapun, kedua-duanya enggan berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan sumber klip video tersebut.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59