Tuesday, 9 October 2007

104,562 nama dikeluarkan dari senarai pemilih


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengeluarkan 104,562 nama dari senarai pemilih atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan hari ini, SPR tidak menjelaskan sebab nama-nama tersebut dikeluarkan dari senarai pemilih yang dikemaskini.

SPR juga berkata ia telah memperakui Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku tahunan kedua 2007 (1 April hingga 30 Jun), yang melibat 316,223 pemilih.

DPT itu akan didiwartakan esok dan jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara setelah dicantumkan dengan Daftar Pemilih Induk Tahun 2006 adalah seramai 10,516,256 orang.

Daripada jumlah yang mendaftar dalam DPT itu 254,455 adalah permohonan pemilih baru dan 61,768 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi, demikian menurut laporan Bernama.

Menurut kenyataan itu lagi sebanyak 160 tuntutan bagi permohonan baru diterima dalam Suku Tahun Kedua 2007 namun tidak dapat diselesaikan berikutan bahagian pilihanraya terlibat dengan urusan bantahan dan terpaksa dibawa ke Suku Tahun Ketiga 2007.

Kawasan-kawasan Parlimen yang terlibat dengan tuntutan ialah di Kelantan yang melibatkan Tumpat, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Ketereh dan Jeli manakala bagi Terengganu pula kawasan terlibat ialah Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.

Senarai pemilih dijual

Bantahan pula melibatkan 1,489 permohonan iaitu di kawasan parlimen Jerlun, Baling, Kulim Bandar Baharu dan Padang Serai di Kedah.

Di Kelantan, bantahan melibatkan kawasan Tumpat, Kota Bharu, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Ketereh, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, Jeli, dan Kuala Krai.

Bantahan di Terengganu pula melibatkan kawasan parlimen Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai yang berminat untuk membeli Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2007 boleh mendapatkannya di ibu pejabat SPR di Putrajaya atau hubungi talian 03-88856500 bagi mendapatkan
maklumat lanjut.

Ia dijual di Perlis pada harga RM14.20, Kedah (RM134.20), Kelantan (RM35.60), Terengganu (0.00), Pulau Pinang (RM130.40), Perak (RM235.60), Pahang (RM100) dan Selangor (RM253.40).

Ia juga dijual di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada harga RM86.80, Wilayah Putrajaya (RM1.20), Negeri Sembilan (RM108.60), Melaka (RM60.40), Johor (RM261.60), Wilayah Persekutuan Labuan (RM2.60), Sabah (RM168) dan Sarawak (RM169.40).

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59