Friday, 21 September 2007

Tubuh Tribunal Siasat Video VK Lingan dan Fairuz - Imran



Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman merayu Raja-raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu yang jelas menekan rakyat dan menjejaskan kedaulatan negara dan undang-undang.

"Saya merayu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mencari jalan dengan sungguh-sungguh untuk menubuhkan satu tribunal yang diyakini semua pihak berhubung insiden keganasan Polis di Batu Buruk dan dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentang perbualan peguam Datuk VK Lingam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim," katanya.

Ustaz Imran berkata kedua-dua isu nampaknya tidak ditangani dengan adil dan professional oleh kerajaan dan Polis sehingga semua kenyataan pemimpin kerajaan dan Polis serta laporan akhbar bercanggah antara satu sama lain. Malah kenyataan saksi kejadian dengan dakwaan pemimpin dan Polis jelas berlawanan.
“Siapa yang betul sebenarnya dalam hal ini, berdasarkan kes-kes terdahulu jelas pemimpin dan Polis selalu mengubah fakta”, tambah Ustaz Imran.
Beliau juga melihat isu terbaru melibatkan pendedahan rakaman perbualan peguam Datuk VK Lingam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.amat merbahaya kepada institusi undang-undang negara.

Ustaz Imran merayu agar sebuah tribunal ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut dan mencadangkan hendaklah ianya dianggotai oleh mereka yang benar-benar diyakini rakyat dan bukan seperti tribunal dalam kes pemecatan Tun Salleh Abas. Tribunal tersebut akhirnya dikecam dan diperlecehkan.
"Tribunal ini mesti ditubuhkan bagi menyelamatkan institusi kehakiman negara dari dipandang rendah dan hina.
"Malah, jika tidak diambil tindakan sewajarnya, satu hari nanti Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mungkin terpaksa melihat institusi kehakiman menjadi pasaraya tempat shopping atau membeli-belah hakim," katanya.

Seboleh-bolehnnya, kata beliau, janganlah satu hari nanti rakyat melihat perbuatan membeli-belah hakim seperti membeli daging babi di pasar.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan klip video yang menunjukkan seorang peguam veteran sedang berbual dengan seseorang untuk mengatur pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi di badan kehakiman.

Peguam berkenaan, Datuk V K Lingam, dipaparkan sedang berbual melalui telefon dengan seorang individu yang didakwa hakim berkeduduan tinggi dan isi perbualan mereka antaranya menyentuh nama-nama tokoh politik, yang juga seorang menteri, dan tokoh perniagaan terkenal.

Video yang didakwa dirakam pada 2002 itu diserahkan kepadanya baru-baru ini, kata Anwar di sidang media hari ini.

Di sidang media itu, video selama kira-kira lapan minit itu ditayangkan dan transkrip isi perbualan tersebut diedarkan kepada media.

"Kami percaya perbualan tersebut dirakam di kediaman VK Lingam di Kelana Jaya," dakwa Anwar.

Dalam video tersebut, peguam berkenaan dapat dilihat dan didengar bercakap dengan seseorang yang didakwa hakim kanan, dan percaturan mereka ini boleh mempengaruhi proses perbicaraannya, jelas Anwar.

Beliau berkata lagi, pihaknya telah mengesahkan identiti lelaki dalam video tersebut sebagai VK Lingam dan juga ketulenan video berkenaan.

Peguam itu kelihatan berbual tentang perancangan untuk memastikan hakim kanan tersebut -- melalui usaha seorang ahli perniagaan yang bergelar Tan Sri dan seorang menteri -- untuk melobi jawatan Ketua Hakim Negara dan kenaikan pangkat beberapa hakim lain.

Anwar berkata, ketika mengulas kandungan video berkenaan, jika isi perbualan ini benar-benar terjadi, maka ia memberi implikasi wujudnya konspirasi untuk memusnahkan sistem perundangan.

Konspirasi itu, tambahnya, "untuk mempengaruhi hakim-hakim kanan agar membuat keputusan penghakiman yang tidak berdasarkan undang-undang."

Anwar bagaimanapun enggan mendedahkan sumber dan individu yang bertanggungjawab merakam video itu.

"Pendedahan ini menguatkan apa yang saya yakini sebelum ini bahawa ada konspirasi politik, rasuah besar yang melibatkan badan kehakiman, untuk menjatuhkan saya," katanya, dengan menuduh menteri berkenaan turut terlibat dalam usaha menjatuhkan kerjaya politiknya pada 1998.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59