Thursday, 12 July 2007

TANGANI ISU KUIL DENGAN BERHATI-HATI



Isu pembinaan Kuil Hindu di Kampung Tambak Paya, Ayer Molek masih belum selesai. Walaupun ianya telah berlarutan beberapa bulan namun penyelesaian masih belum jelas. Hari ini sebuah media internet menyiarkan keluhan beberapa individu yang terlibat secara langsung dengan isu tersebut.

2 kain pemidang yang dipasang oleh Pemuda Umno Cawangan Tambak Paya yang tertulis "Jangan Uji kesabaran Kami" dan "Robohkan Kuil Haram ini" masih berkibaran di kampung tersebut.

Laporan media itu menyebut bahawa, Harold Gomez, 55, seorang pemegang amanah Kuil Sri Maha Preiyachi yang berumur 16 tahun, bimbang disebabkan bantahan Pemuda Umno Cawangan, kuil tersebut mungkin akan dirobohkan sebelum 15 Julai sebagaimana tarikh akhir yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan(PBT)

Harold Gomez juga mempersoalkan mengapa Pemuda Umno sibuk masuk campur urusan mereka dan PBT, sedangkan pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan PBT. Beliau juga bimbang tindak tanduk Pemuda Umno akan mengeruhkan suasana aman dan damai antara Kaum Melayu dan India di kampung itu.

Ketua Kampung Tambak Paya, Senin Mat pula berkata, majoriti penduduk di kawasan itu merupakan orang Melayu dan masyarakat India cuma kira-kira 100 orang sahaja.

Beliau berkata selama ini mereka menggunakan dua buah kuil yang besar tersebut tanpa sebarang halangan, orang Melayu tidak pernah mengganggu mereka. Lokasi kuil kecil tidak sesuai kerana di sekelilingnya merupakan rumah-rumah penduduk orang Melayu dan Cina, selain tapaknya adalah tanah lot tapak rumah.

Senin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambak Paya berkata, kuil kecil tersebut sudah lama wujud tetapi tidak disedari penduduk kampung kerana ia terselindung oleh bengkel tempat menyimpan besi buruk.

Bagaimanapun, katanya apabila bengkel tersebut dirobohkan apabila lesennya tidak disambung oleh pihak berkuasa, baru penduduk tahu kewujudan sebuah kuil baru di kawasan itu.

Beliau juga mendakwa mula-mula saiznya hanya sebesar sebuah pondok menunggu durian, tetapi ia semakin besar berikutan penganut Hindu yang sebelum ini beribadat di dua kuil yang lain mula datang ke kuil tersebut. Berikutan itu beberapa ahli Pemuda Umno cawangan kampung ini katanya, memasang kain pemidang di depan kuil yang membantah pembesaran kuil tersebut.

Kita merayu kepada semua pihak supaya berhati-hati menangani isu ini kerana ianya melibatkan isu agama dan bangsa. Semua pihak mesti berlapang dada dan sentiasa menghormati undang-undang dan etika. Tidak ada gunanya kita bergaduh dan bermasam muka kerana di sana ada jalan penyelesaiannya iaitu undang-undang.

Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri kerana ianya akan mengakibatkan ketegangan dan perbalahan. Setiap perkara boleh diselesaikan secara aman jika masing-masing mengamalkan sikap toleransi dan sentiasa mementingkan perpaduan.

Setiap pembinaan umpamanya mesti ada pelan, mesti mendapat kelulusan PBT dan lain-lain pihak berwajib seperti Jabatan Parit dan Saliran, BOMBA dan sebagainya. Sebarang perlanggaran kepada syarat dan undang-undang mungkin mengakibatkan bangunan itu tidak dibenarkan untuk didirikan atau kalau sudah dibina ianya mungkin diarah supaya dirobohkan.

Maka jika sesuatu bangunan itu memenuhi kriteria dan syarat-syarat PBT, sudah tentu ia akan dibenarkan untuk dibina.

Begitu juga sekiranya penduduk tidak berpuashati dengan sesuatu binaan, mereka boleh membuat bantahan dan ianya mesti disiasat oleh pihak berwajib. Maka jika sekiranya pihak berwajib telah membuat keputusan maka ia perlulah ditaati supaya keadilan dan hak masing-masing dipenuhi. Maka jangan sekali-kali membelakangkan undang-undang. Andai ianya dilanggar maka tidak perlulah negara kita mempunyai undang-undang.

Malah selepas keputusan diambil sekalipun penduduk masih boleh mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

Adalah diharapkan semua pihak bertenang dan berlapang dada. Penyelesaian secara kekerasan dan paksaan tanpa mengikut undang-undang yang ada sudah tentu akan membawa mudarat.

Sebagai masyarakat Malaysia kita semua mesti matang dan rasional dalam isu seperti ini. Jangan sesekali meletakkan kepentingan diri dan komuniti kita sahaja tanpa mengambil kira perasaan dan sensitiviti komuniti lain.

Yang Benar,

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka
12 Julai 2007

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

Anonymous said...

Tuan Sofi Wahab,

Saya sokong pendapat tuan , iaitu kita mesti cari penyelesaian yang terbaik bagi isu ini. Saya juga kesal akan tindakan pihak pemuda UMNO dalam perkara ini yang banyak menikut emosi dari rasional. Bagi pihak pembina kuil juga harus bertanggung jawab dari segi undang undang dan jika di dapati tidak mengikut lunas lunas undang undang yang sedia ada mereka mesti menanggung risikonya. Saya sebagai penganut agama hindu juga tidak puas hati dengan segelintir yang suka membina kuil tanpa merujuk kepada badan asas agama hindu di negara ini iaitu Hindu Sanggam Malaysia. Bagi mereka yang tidak memahami asas agama hindu , di malaysia mepunyai beberapa mahzab yang masih mengamal ajaran pre hindu mengikut amalan amalan yang tidak di iktiraf olih ajaran agama hindu . Mereka bebas membuat sesuka hati kerana di sini tidak ada badan seperti Jakim yang mengawal ajaran agama islam ( contohnya ). Malah hindu sanggam juga tidak dapat berbuat apa apa kerana sebab sebab perundangan. Ajaran sesat telah menular ke dalam agama hindu di negara ini dan sedih nya pihak MIC gagal mengatasi isu ini .Ini menyebabkan ada setengah masyarakat hindu tidak mahu mencampur dalam ajaran sesat ini dan lebih menumpukan perhatian pada ajaran tulin hindu.Bagi rakyat malaysia yang lain masih berpendapat bahawa ajaran hindu adalah seperti yang mereka saksikan di TV , thaipusam memcucuk anggota badan dan activiti lain yang langsung tidak di iktiraf . Malah agama hindu adalah salah satu agama tertua di dunia yang mengaris kan panduan hidup di dunia dan kuasa kuasa tuhan yang maha agung. Malah kuil yang bakal di bina itu juga termasuk dalam perkara ini kerana dewata yang akan di sembah termasuk dalam golongan yang di ujudkan olih kuasa tuhan untuk beberapa sebab dan bukan untuk di sembah di kuil .untuk lebih memahami konsep ini adalah seperti meng agung agung kan kuasa malaikat atau wali wali seperti juga berlaku di ajaran agama islam khasnya olih pengikut mahzab di iran yang mencederakan diri masing masing semasa upacara keagamaan .
Terima Kasih

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59