Saturday, 14 July 2007

SATU LAGI 'KERANDA TERBANG' HILANG



Sebuah lagi helikopter Nuri yang digelar 'keranda terbang' milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa enam orang hilang selepas 10 minit berlepas dari Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi pagi ini.

Helikopter itu meninggalkan pangkalan tersebut pada pukul 9.25 pagi menuju ke Pangkalan Udara Kuantan.

Dua daripada penumpang helikopter itu berpangkat kapten, seorang flait sarjan dan tiga krew sokongan penerbangan dari 10 Skuadron TUDM yang berpangkalan di Sungai Besi.

Ketika terputus hubungan dengan Menara Kawalan TUDM pada pukul 9.35 pagi, pesawat itu dipercayai sedang terbang di ruang udara di antara hutan Genting Sempah dan Janda Baik di sini.

Pada pukul 9.36 pagi, salah seorang pegawai tentera di dalam helikopter itu cuba menghubungi pusat operasi TUDM menggunakan telefon bimbitnya.

Namun, talian terputus ketika pegawai di pusat operasi menjawab panggilan tersebut. Percubaan untuk menghubungi semula telefon bimbit itu gagal.

Sebuah syarikat telekomunikasi kemudian memaklumkan kepada TUDM bahawa panggilan berkenaan dibuat dari pencawangnya di Kilometer 36.5 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak tidak jauh dari pusat peranginan Genting Highlands.

Sehingga pukul 11 malam ini, helikopter tersebut belum dapat dikesan. Nasib anak kapal dan penumpangnya belum diketahui.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM, Mejar Zulkiflee Abdul Latiff dalam satu kenyataan pada pukul 7 malam ini memberitahu, TUDM telah melancarkan misi mencari dan menyelamat yang melibatkan pelbagai pihak sebaik sahaja terputus hubungan dengan helikopter itu.

Katanya, apabila terputus hubungan, menara kawalan mengarahkan sebuah pesawat TUDM mengesan helikopter tersebut di kawasan sekitar Karak.

Menurutnya, misi itu digerakkan menerusi Pusat Menyelamat (RSC) di Pangkalan Udara TUDM Kuala Lumpur melibatkan pasukan TUDM sendiri, Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).

“Helikopter itu membawa tiga krew bersama tiga penumpang. Waris semua anak kapal dan penumpang telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Selepas mendapat bantuan daripada semua pihak terlibat, operasi mencari dan menyelamat di darat dimulakan di Genting Sempah pukul 3 petang,” kata Zulkiflee.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ayob Mohamad dalam sidang akhbarnya di Kuantan petang ini tidak dapat mengesahkan sama ada helikopter itu terhempas atau hanya mendarat cemas.

“Kami dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 2.40 petang oleh TUDM yang meminta kami membantu mereka mengesan helikopter itu,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Supritendan Mohammad Sakri Che Sulaiman pula memberitahu, misi mencari helikopter itu dimulakan di kawasan berdekatan terowong Genting Sempah di sini dengan mengambil kira di situlah panggilan terakhir menerusi telefon bimbit dibuat oleh salah seorang penumpang helikopter Nuri itu.

Menurutnya, pencarian dilakukan di sekitar Hutan Genting Sempah dan Janda Baik iaitu kawasan penerimaan isyarat pencawang syarikat telekomunikasi Maxis di Kilometer 36.5 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

“Kita percaya panggilan dari telefon bimbit itu dibuat dalam lingkungan lima kilometer dari pencawang tersebut.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi pihak polis untuk membantu gerakan mencari,” katanya.

Sakri berkata, seorang petani di Genting Highlands memberitahu pasukan mencari bahawa dia ternampak sebuah helikopter terbang rendah dengan bunyi yang agak pelik di kawasan lereng bukit berhampiran padang golf Awana Resort.

Menurut beliau, 20 anggota polis dari Bentong dikerah menyertai operasi mencari dan menyelamat. Sehingga pukul 9 malam ini, sekurangnya 200 anggota tentera terbabit dalam gerakan menyelamat.

Polis juga meminta bantuan anggota Ikatan Relawan Malaysia (Rela) untuk memperluaskan gerakan mencari.

Pasukan pencari dan penyelamat tentera telah membuka markas operasinya berhampiran Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highlands di sini tengah malam ini.

Sementara itu, di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, wartawan Utusan Malaysia melihat dua kereta jenazah, sebuah ambulans dan satu jentera bomba TUDM keluar dari pangkalan itu pada pukul 8 malam ini.

Bagaimanapun, destinasinya tidak diketahui.

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BUKIT KATIL MENGGESA MENTERI PERTAHANAN MELETAKKAN JAWATAN KERANA SUDAH BANYAK PESAWAT TUDM TERHEMPAS SEJAK BELIAU MEMEGANG KEMENTERIAN TERSEBUT. KECUAIAN DAN KELALAILAN PEGAWAI-PEGAWAINYA JUGA GAGAL DITANGANI OLEH BELIAU. BELIAU LEBIH SIBUK DENGAN KERJA-KERJA POLITIKNYA SEHINGGA TANGGUNGJAWAB UNTUK MEMIMPIN KEMENTERIAN DIABAIKAN.

SESUNGGUHNYA KES INI BUKANNYA KES YANG KECIL KERANA IANYA MENJEJASKAN IMEJ PERTAHANAN NEGARA SELAIN DARI IANYA MENGORBANKAN ANGGOTA TENTERA KITA YANG TERLATIH

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

Anonymous said...

Saya penyokong PAS dari dulu lagi dan saya nak komen DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BUKIT KATIL MENGGESA MENTERI PERTAHANAN MELETAKKAN JAWATAN.. Susah lah macam ni, kalau ada perihal kemalangan atau musibah, nak suruh orang letak jawatan. Langsung tak berfikiran pemimpin lansung. Bagi malu PAS sahaja. Kalau macam tu nanti rakyat macam saya kata PAS dari dulu sampai sekarang tak dapat tawan Malaysia, kita minta ketua PAS letak jawatan lah... haa, kan kah haru.. apa raa..

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59