Monday, 2 July 2007

PAS ramal menang dua pertiga DUN T’ganu : Idris pucat gigi



Laporan Malaysiakini hari ini sudah pasti merimaskan Idris Jusoh MB Terengganu yang terkenal bercakap besar. Beliau berangan-angan untuk menjadikan Terengganu sifar pembangkang selepas PRU 12.

Namun Malaysiakini melaporkan bahawa PAS meramalkan akan memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan seterusnya merampas semula negeri itu dalam pilihanraya umum akan datang.

Malah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, PAS Terengganu juga yakin mampu merampas kerusi DUN Jertih yang kini diwakili oeh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, dalam pilihanraya akan datang.

Husam berkata, PAS kalah pada 2004 ekoran pertambahan undi luar biasa sebanyak 93,179 yang diperolehi oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pertambahan undi ‘luar biasa’ itu tidak akan berulang lagi dalam pilihanraya umum akan datang dan kerana itu PAS yakin dapat merampas semula Terengganu.

Menurutnya, persoalan bagaimana BN mendapat 93,179 undi baru itu pernah ditimbulkan dalam persidangan DUN Terengganu, tetapi dakwanya, ia tidak boleh dijawab oleh pemimpin BN negeri itu.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, katanya, BN memperolehi peningkatan purata 19 peratus atau kira-kira 2,200 pengundi baru bagi setiap DUN.

Pertahan kerusi sekarang

Manakala undi untuk PAS pula, katanya cuma merosot lima peratus atau 280 undi bagi setiap DUN.

Undi untuk PAS, katanya, paling banyak merosot di kerusi DUN Alor Limbat (902 undi) dalam Parlimen Marang. Ekoran itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang gagal mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan dalam pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, katanya, bagi DUN Cukai, undi PAS meningkat sebanyak 766 undi – yang terbanyak daripada 32 kerusi DUN di negeri itu.

Katanya, 24 kerusi yang bakal dimenangi PAS termasuk empat kerusi sedia ada – Rhu Rendang (Abdul Hadi), Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Batu Burok (Datuk Wan Mutalib Embong) dan Manir (Datuk Harun Taib) – yang tidak pernah dimenangi Umno sejak pilihanraya umum 1982.

Selain DUN Jertih, Husam berkata, 19 kerusi DUN yang dijangka dapat ditawan PAS dalam pilihanraya umum akan datang ialah Kuala Besut, Hulu Besut, Jabi, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Tepoh, Teluk Pasu, Bukit Tunggal, Bandar, Alur Limbat, Bukit Payung, Pengkalan Berangan, Telemong, Kuala Berang, Ajil, Bukit Besi, Sura dan Rantau Abang.

Husam memberitahu demikian di Kongres Anak Terengganu di Markaz PAS, Taman Melewar dekat ibu negara kelmarin yang khusus membincangkan strategi PAS untuk merampas semula Terengganu dalam pilihanraya umum akan datang.

Kongres itu dirasmikan oleh Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu dan dihadiri oleh kira-kira 300 ahli dan penyokong PAS.

Kroni bolot projek

PAS memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999 tetapi dirampas semula oleh BN dalam pilihanraya umum lalu.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, rakyat negeri itu mula menunjukkan kecenderungan untuk mengubah kerajaan negeri sedia ada dalam pilihanraya akan datang.

Beliau mendakwa, isu yang menjadi perbualan hangan di kalangan penduduk Terengganu ialah satu demi satu projek dibolot oleh kroni pemimpin Umno.

“Bukan sahaja projek besar, projek kecil juga diberikan kepada kroni mereka sehingga rakyat biasa melopong siang malam,” katanya.

Abdul Hadi pula berkata, bedah siasat yang dibuat mendapati kekalahan PAS Terengganu dalam pilihanraya umum lalu bukan kerana kelemahan pimpinan parti itu.

Sebaliknya, katanya, pertambahan luar biasa jumlah pengundi yang mengundi BN disemua 32 kerusi DUN di seluruh negeri.

Gambar Hiasan : Dr Khatijah Jumangat Ketua DMP Negeri Melaka

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59