Monday, 23 July 2007

Kesal sikap culas MPAJ, Ahli Parlimen Ampang dan ADUN


SAYA berasa amat kesal dengan sikap tidak mengambil berat yang ditonjolkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ahli Parlimen Ampang Dr Rozaidah Talib and Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Azman Wahid.

Pada 10 Jun lalu, berlaku banjir kilat yang buruk di kawasan Jalan Enggang, Taman Keramat setelah lebih 20 tahun kawasan ini tidak dilanda banjir.

Puncanya adalah kerana longkang monsun yang berdekatan dengan pencawang TNB di jalan tersebut telah tersumbat setelah sebatang pokok besar tumbang dan melintangi terowong longkang tersebut.

Maka kira-kira jam lapan malam, penduduk kawasan tersebut dikejutkan dengan limpahan air di dalam ruang tamu rumah masing-masing. Kira-kira satu jam kemudian, air sedalam paras betis itu mula surut.

Memang banyak kawasan di Kuala Lumpur yang dilanda banjir kilat pada malam tersebut. Baca sahaja di surat khabar dan lihat sahaja laporan di televisyen.

Namun saya berasa amat kesal kerana tiada satu pihak pun yang tampil bertanya khabar, jauh sekali menghulurkan bantuan.

Kawasan Jalan Enggang, Taman Keramat ini banyak didiami oleh guru-guru yang kebanyakannya sudah pencen dan uzur. Di kawasan yang saya tinggal, lebih 30 buah rumah telah dilanda banjir.

Esoknya, apabila saya ke kedai untuk membeli peralatan mencuci, saya merasa amat sedih melihat warga-warga emas ini terbongkok-bongkok cuba mengangkat karpet untuk dijemur dan mengangkat perabot keluar dari rumah untuk dikeringkan.

Oleh kerana hari itu adalah hari bekerja, saya terpaksa mengambil cuti kecemasan tetapi bagi warga-warga emas ini, mereka lebih rela untuk menyelesaikan masalah ini tanpa menyusahkan anak-anak mereka.

Sepanjang hari kami membersihkan kawasan dalam dan luar rumah dan apabila menjelang petang, saya mendapat tahu bahawa ada pegawai MPAJ yang datang.

Alangkah terkejutnya saya apabila mengetahui bahawa mereka datang bukan untuk bertanya khabar tetapi untuk menghantar notis cukai pintu.

Salah-seorang jiran saya memberitahu mereka tentang pokok yang tumbang itu tetapi mereka hanya mengambil sikap acuh tak acuh sahaja.

Bimbang kejadian yang sama berulang, pokok itu berjaya dikeluarkan oleh tuan punya kedai barangan logam yang berdekatan dengan longkang monsun tersebut.

Saya menulis kerana kesal, sakit hati dan marah kepada tiga pihak yang saya sebutkan di atas. Apa peranan yang dimainkan oleh mereka sewaktu rakyat yang mengundi mereka dilanda kesusahan.

Bukan inginkan ganti rugi atau sumbangan barangan elektrik atau beras tetapi jenguk-jenguklah penduduk yang dilanda musibah ini.

Sehingga hari ini pun batang pokok besar itu masih berada di bahu jalan longkang monsun itu. Tuan punya kedai barang logam tersebut memotong ranting-ranting dan batang pokok tersebut sedikit demi sedikit dan membakarnya kerana tiada inisiatif langsung dari pihak MPAJ untuk membersihkannya.

Jangan nanti tuan punya kedai barangan logam itu pula disaman kerana melakukan pembakaran terbuka.

Sehingga kini pun tiada wakil dari pejabat YB mahupun cawangan Umno yang datang bertanya khabar - agaknya berat sungguh kaki untuk melangkah dan mulut untuk bertanya khabar kerana sejak menang pilihanraya di sini, baru sekali saya melihat kelibat YB-YB di kawasan Taman Keramat ini, itupun kerana ada majlis Hari Raya di masjid.

Kami bukan meminta rezeki dari pihak YB tetapi laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Janganlah menunggu saat untuk dicalonkan semula baru nampak batang hidung, baru khabar hendak ditanya - tersasar benar halatuju kepimpinan YB semua.

Cucu Mat Kilau
Taman Keramat, Kuala Lumpur

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59