Wednesday, 4 July 2007

HANYA UNDANG-UNDANG ISLAM DAPAT SELESAIKAN MASALAH



BUKIT KATIL : Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPBK, Nazri Ariffin menggesa kerajaan Islam Hadhari supaya insaf dan sedar bahawa hanya Islam yang mampu menyelesaikan kemelut yang melanda negara sekarang.

Undang-undang ciptaan manusia yang digunapakai di negara ini sejak 50 tahun dahulu nyata gagal menyelesaikan masalah jenayah malah statistik menunjukkan bahawa kes jenayah semakin meningkat.

Nazri menjelaskan bahawa tidak ada gunanya kerajaan Islam Hadhari mengguna pelbagai cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah jenayah ini kerana terbukti ianya gagal mengurang dan membasmi jenayah.

"Tambahlah polis ratusan ribu sekalipun, manusia tidak akan takut melakukan jenayah kerana undang-undang ciptaan manusia tidak ada keberkatan dari Allah" kata Nazri.

"Kita hairan mengapa Imam Al Hadhari masih mahu menggunakan fikiran manusia untuk menyelesaikan masalah jenayah ini, sedangkan Allah telah menyediakan undang-undangNya yang mempunyai keberkatan 'Nakalan Minallah'" tambah Nazri yang juga Penolong Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil.

Bernama hari ini melaporkan bahawa jumlah jenayah kekerasan di negara ini menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, termasuk kes rogol yang menunjukkan peningkatan tertinggi, dengan peningkatan 28 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Christopher Wan Soo Kee hari ini.

"Kami mengakui bahawa jenayah kekerasan telah meningkat, terutama kes rogol dan cabul kehormatan yang telah meningkat dengan ketara... Kes rogol meningkat paling tinggi daripada kes-kes yang dilaporkan di negara ini.

"Ia diikuti oleh kes samun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketuaketua Jabatan Siasatan Jenayah (OCCI) di sini hari ini.

Wan berkata mesyuarat dua hari itu, yang diadakan setiap suku tahun, bertujuan merangka strategi dan mengkaji semula tindakan memerangi jenayah dan jenayah terancang di negara ini dan mempertingkatkan usaha membanteras jenayah.

Semasa ditanya mengenai langkah-langkah yang diambil polis untuk membanteras jenayah kekerasan memandangkan jumlah kes rogol yang dilaporkan di Johor Baharu telah meningkat sejak akhir-akhir ini, Wan menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan polis dalam membanteras jenayah di negeri itu.

Beliau berkata hasil kerjasama antara polis dan masyarakat tempatan menerusi pendekatan bersepadu di Johor Baharu, indeks jenayah telah berjaya dikurangkan kepada 4.7 peratus dari Januari hingga Mei tahun ini.

Mengenai "Ops Cantas Kenyalang", yang dilancarkan pada Mac lepas, berikutan dakwaan bahawa tindakan gengster kini berleluasa di Sarawak, Wan berkata pasukan petugas yang telah ditubuhkan sedang memberikan sepenuh tumpuan untuk menumpaskan kegiatan gengster di negeri itu.

"Saya sedang memantau perkembangan Ops Cantas Kenyalang... Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada penduduk Sarawak kerana mempunyai keyakinan kepada kami dan saya berharap orang ramai akan tampil membuat laporan polis sekiranya berlaku kes-kes kekerasan, gangguan jenayah atau ugutan terhadap mereka oleh kumpulan kongsi gelap," katanya.

Sejak Ops Cantas Kenyalang dilancarkan, kirakira 1,310 orang telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan gengsterisme dan jenayah lain yang berkaitan manakala 138 orang telah didakwa di mahkamah kerana memeras ugut, merusuh dan melakukan ugutan jenayah.

Wan berkata sembilan orang daripada mereka ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969, termasuk ketua kumpulan "Chieng Lee" di Bintulu yang ditahan Sabtu lepas, yang merupakan tahanan terbaru.

Semasa ditanya sama ada terdapat mana-mana gengster di negeri ini dikaitkan dengan mana-mana ahli politik, Wan berkata, "Tolonglah, saya belum nak komen lagi," dan menambah bahawa setiap orang akan disiasat sekiranya mereka dikaitkan dalam siasatan polis.

"Tiada sesiapa harus khuatir kerana setakat ini polis mengekalkan profesionalisme mereka dengan tidak mendedah sebarang nama," kata beliau.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59