Thursday, 19 July 2007

Dr Mahathir tak bertanding, 'nak jimatkan duit orang'


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding untuk menjadi perwakilan Umno ke perhimpunan agung di mesyuarat perwakilan bahagian Kubang Pasu, dengan alasan Umno bukan lagi sebuah parti yang boleh dipercayai.

Dr Mahathir mendakwa Umno sudah menjadi sebuah parti yang membenarkan rasuah kerana menurut beliau, parti tersebut tidak mengambil tindakan terhadap perlakuan rasuah sesetengah anggotanya walaupun perbuatan itu dibuat secara terang-terangan.

Dengan nada sinis, Dr Mahathir juga berkata beliau tidak mahu bertanding kerana mahu “menjimatkan duit” sesetengah pihak supaya tidak perlu memberi sogokan kepada perwakilan di mesyuarat bahagian itu.

Pada mesyuarat perwakilan bahagian itu tahun lalu, Dr Mahathir gagal dalam pertandingan untuk menjadi salah seorang perwakilan ke perhimpunan agung. Berikutan itu, beberapa perwakilan daripada bahagian itu membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin mengenai kegiatan pihak tertentu yang terbabit dengan politik wang bagi memastikan kekalahan bekas presiden Umno itu.

“Nak bertanding buat apa, saya nak jimatkan duit orang tertentu supaya tidak payah lagi tumbuk rusuk orang supaya tidak undi saya. Tidak usah cakaplah tidak ada rasuah, semua orang tahu kredibiliti jawatankuasa disiplin Umno sudah tidak ada lagi.

“Orang tidak percaya lagi kerana benda yang terang-terang libatkan rasuah tapi kata bersih. Kalau inilah jawatankuasa disiplin, Umno dan majlis tertinggi sendiri adalah satu badan yang membenarkan rasuah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan beberapa pemimpin dari Somali Land, satu kawasan yang merupakan sebahagian daripada Somalia.

Beliau juga mendakwa kini semua pihak, daripada pegawai kerajaan, ahli akademik hingga kepada pemimpin-pemimpin Umno semuanya takut untuk dilihat berbaik-baik dengan beliau kerana bimbang dituduh sebagai “orang Dr Mahathir”.

“Nak dekat dengan saya pun tidak boleh. Orang yang saya kenal baik dulu, yang puji saya sampai naik asap, sekarang duduk jauh, tak berani datang dekat,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Umno bahagian juga tidak dibenarkan menjemputnya, walaupun untuk bercakap pada mesyuarat mereka, bukannya untuk membuka mesyuarat masing-masing kerana MT telahpun membuat keputusan hanya ahlinya sahaja yang boleh dijemput untuk tujuan itu.

Itulah pengakuan jujur Dr Mahathir yang melihat pemimpin Umno sekarang memang penuh tidak ada maruah sanggup melakukan rasuah semata-mata untuk kepentingan politik sendiri.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59