Thursday, 26 July 2007

BANJIR TERUS MELANDA DI BUKIT PIATU DAN DURIAN DAUN, TIADA TINDAKAN DIAMBIL



MELAKA : Kira-kira 60 keluarga di Kampung Durian Daun, dekat sini sudah lali dengan kejadian banjir kilat di kawasan mereka setiap kali hujan akibat sistem perparitan yang tidak sempurna dan longkang yang tidak dinaik taraf.

Penduduk mendakwa, masalah itu sudah berlarutan terlalu lama dan setiap kali hujan antara satu hingga tiga jam, air akan bertakung setinggi satu meter sehingga memasuki rumah mereka.

Seorang penduduk, Zinton Musa, 52, berkata keadaan kampung berkenaan setiap kali dinaiki banjir tidak ubah seperti pulau sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah penempatan penduduk dalam kawasan bandar.

Katanya, punca kejadian itu disebabkan longkang monsun sedia ada tidak dinaik taraf sedangkan longkang itu menerima air kumbahan dari kawasan berhampiran seperti Bukit Serindit, Musai, Taman Noorbar, Bukit Piatu dan beberapa kawasan lain sekitarnya. Apabila hujan, air melimpah dan memasuki rumah penduduk.

“Kami sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan meminta pihak berkenaan terutama kerajaan negeri memandang serius dan mengambil berat masalah yang kami hadapi ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zinton berkata, adalah lebih baik kerajaan negeri memberi pampasan kepada penduduk yang terjejas supaya mereka dapat berbuat sesuatu bagi mengatasi masalah itu.

“Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, sudah empat kali kawasan kampung ini banjir kilat,” katanya.


Penduduk lain, Sham Md Yunos, 40, mendakwa, punca utama banjir kilat di kampung itu adalah masalah perparitan.

Katanya, pihak berkaitan sepatutnya menaik taraf longkang, bukan sekadar membina tembok di tepi longkang yang disiapkan kira-kira dua bulan lalu yang tidak mendatangkan apa-apa kesan bagi mengelak kejadian banjir kilat di kampung itu.

“Kawasan kami ini seperti dianaktirikan oleh sesetengah pihak kerana apa jua aduan yang dikemukakan penduduk langsung tidak mendapat layanan atau tindak balas.

“Adalah lebih baik peruntukan membina tembok tepi longkang ini digunakan untuk mengorek dan mendalamkan longkang berkenaan,” katanya.

Setiausaha Lajnah Penerangan Negeri Melaka, Ustaz Khirul Che Salleh kesal kerana kerajaan negeri dan agensinya gagal mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini sehingga penduduk menderita sekian lama.

"Mana pergi slogan tradisi membela rakyat yang sekian lama diwar-warkan oleh kerajaan BN".

"Pemimpin hanya pandai berjanji sewaktu kempen pilihanraya tetapi seringkali tidak menunaikan janji mereka" tegas beliau.

BUKIT PIATU JUGA DILANDA BANJIR

Sementara itu lebih 50 penduduk di Lorong A, Kampung Bukit Piatu, tidak sanggup menanggung derita selepas setiap kali hujan lebat melanda kawasan mereka.

Ini kerana, banjir kilat pasti berlaku hingga menyebabkan barangan berharga seperti peralatan perabot, elektrik dan kenderaan rosak akibat terendam di dalam air.

Bukan itu saja, lumpur yang tinggal dalam rumah sejurus banjir surut menambah beban kerana untuk mencuci kekotoran itu akan memakan masa sehingga lima jam sebelum ia bersih.

Keadaan longkang yang kecil di sebuah kawasan tapak perumahan baru Bukit Piatu dikatakan menjadi penyumbang kepada berlakunya banjir kilat itu.

Ini kerana, longkang berkenaan tidak mampu menampung kapasiti air yang banyak dalam satu masa sekiranya hujan lebat melanda berjam-jam.

Seorang penduduk, Aim Othman, 70 pula berkata, masalah dihadapi dia sekeluarga bermula sejak hujung 2004 apabila kerja pembinaan taman terbabit mula dijalankan.

Katanya, ketiadaan sistem perparitan yang sempurna di sekitar kawasan perumahan terbabit secara tidak langsung menyebabkan masalah banjir di kampungnya.

“Pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) termasuk pemaju diharap dapat mengambil tindakan segera mengatasi masalah ini.

“Kami tidak mahu ia berlaku lagi kerana ia membebankan kehidupan kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Idrus, 44 berkata, hujan lebat sejak jam 2 pagi semalam menyebabkan dia sekeluarga kerugian hampir RM3,000 akibat kerosakan harta benda.

Katanya, kejadian seumpama itu adalah kali pertama dihadapinya sejak beberapa tahun mendiami kawasan berkenaan.

“Saya sekeluarga menjadi fobia dengan masalah ini kerana setiap kali hujan kami mengalihkan barang dan terpaksa membazir masa untuk membersihkan lumpur yang masuk ke dalam rumah.

Muhammad berkata, masalah itu sudah diajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bachang, Datuk Chua Peng Song, namun sehingga kini tiada tindakan diambil. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga sudah meninjau masalah berkenaan tahun lalu. Tetapi hanya setakat meninjau sahaja tiada tindakan diambil.

Inilah akibatnya apabila rakyat memilih pemimpin yang hanya mementingkan diri dan langsung tidak memikirkan penderitaan rakyat. Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59