Monday, 4 June 2007

PERBICARAAN ALTANTUYA 'POSTPONED'



Perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantunya Shaariibuu yang dijadualkan bermula hari ini telah ditangguhkan kepada 18 Jun ini atas permintaan pihak pendakwaraya.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membenarkan penangguhan tersebut selepas mahkamah diberitahu bahawa pasukan pendakwaraya yang baru ditugaskan mengambil alih pendakwaan kes itu.

"Dengan mengambilkira kehadiran saksi-saksi rakyat asing, maka saya hanya membenarkan ianya ditangguhkan selama dua minggu sahaja. Perbicaraan akan bermula pada 18 Jun ini,” Mohd Zaki.


Beliau juga menolak permohonan peguambela Wong Kian Kheong supaya penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, yang dituduh bersubahabat dengan dua anggota polis membunuh Altantuya, 28, dibenarkan
ikat jamin.

Sebelum itu, sebaik sahaja perbicaraan bermula pagi tadi, Tun Abdul Majid memberitahu Mohd Zaki bahawa beliau baru dilantik semalam oleh Pejabat Peguam Negara.

Ekoran itu, Tun Majid kemudian memohon penangguhan selama sebulan bagi memberi peluang pihak pendakwa meneliti lebih 100 kenyataan saksi.

Tun Majid Tun Hamzah dibantu oleh Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup.

Notis singkat

"Saya hanya dimaklumkan mengenainya petang semalam ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Saya tidak dapat menjalankan pendakwaan kes ini dengan notis yang begitu singkat,” katanya kepada mahkamah.

Karpal Singh – peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya – sebelum ini turut memohon kes tersebut ditangguhkan kerana permohonannya untuk dibenarkan menyoal-siasat saksi, dijadualkan didengar hari ini.

Sebelum ini pihak pendakwaan diwakili Ketua Unit Kes Terkelas dari Jabatan Peguam Negara Sallehuddin Saidin dan Timbalan Pendakwaraya Noreen Badaruddin.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, dekat Shah Alam, antara jam 10 malam 19 Oktober dan jam 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Mahkamah sesak

Sementara itu, Bernama melaporkan, perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam penuh sesak dengan orang ramai yang mahu mengikuti perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Selain keluarga tertuduh, turut membanjiri mahkamah ialah kalangan wartawan tempatan dan asing, peguam serta orang awam yang berminat untuk mendengar perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin.

Jurufoto akhbar dan jurukamera televisyen turut sibuk merakamkan segala peristiwa yang berlaku di sekitar mahkamah tersebut.

Mereka mula berkumpul sejak jam 6 pagi dengan memenuhi tingkat empat bangunan mahkamah hingga ke tangga dan apabila pintu Mahkamah Tinggi Jenayah 3 dibuka pada jam 7.30 pagi, ruang galeri yang hanya mampu menampung kira-kira 50 orang terus dipenuhi.

Kira-kira 30 anggota polis turut ditempatkan di sekitar kawasan mahkamah.

Isteri tertuduh, Abdul Razak Baginda, Mazlinda Makhzan yang ditemani anak perempuannya Rowena, 19, tiba pada jam 7 pagi diikuti ibu bapa dan keluarga Abdul Razak kira-kira 10 minit kemudian.

Keluarga kepada dua lagi tertuduh Cif Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar pula tiba kira-kira jam 7.30 pagi.

Tertuduh

Bapa mangsa, Dr Shaariibuu Setev yang berbaju kuning terang tiba jam 8.45 pagi bersama Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi, sepupu mangsa, Amy, tiga lagi sepupu perempuannya dan peguam keluarga itu.

Shaariibuu tiba di negara ini Jumaat lalu bagi mengikuti perbicaraan kes yang dijadual akan berlangsung selama 26 hari. Dijangka kira-kira 20 orang saksi akan dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Abdul Razak, 46, yang berkemeja biru tiba tepat jam 9 pagi dengan menaiki van polis berwarna putih. Turut sama dalam van tersebut ialah dua lagi tertuduh, Azilah dan Sirul yang juga berkemeja biru dan menutup kepala masing-masing.

Sebaik tiba, Abdul Razak yang bergari disambut isteri dan anaknya di pintu belakang mahkamah.

Abdul Razak, seorang penganalisis politik terkenal menghadapi tuduhan bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan kejam Altantuya.

Abdul Razak, dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 9.54 pagi dan jam 11.05 pagi pada 8 Oktober tahun lalu di Tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Abdul Razak didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama yang membawa hukuman mati mandatory jika sabit kesalahan.

Laporan : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59