Monday, 25 June 2007

PAS AKAN TAWAN TERENGGANU


PAS Terengganu akan mengadakan kongres khas untuk membincangkan secara khusus perancangan dan strategi untuk merampas semula Terengganu dalam pilihanraya umum akan datang.

Kongres khas itu akan berlangsung pada 30 Jun di ibupejabat PAS di Taman Melewar, Gombak.

Sehubungan itu, Presiden PAS yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ucaptama bertajuk "Kembalikan Pemerintahan Islam di Terengganu".

Manakala Menteri Besar Kelantan, yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat akan menutup kongres tersebut.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali yang juga pengarah pilihanraya PAS pusat pula akan menyampaikan ucapan bertajuk "Tawaran PAS kepada rakyat Terengganu."

Manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Dr Shafie Abu Bakar pula akan membentangkan kertas kerja bertajuk "Analisa Politik Terengganu – Mampukah PAS menguasai Terengganu" dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurut Mustafa, isu tersebut akan diulas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim dari Universiti Malaya.

Yakin menang

"Kami mensasarkan 500 penyokong PAS dan orang ramai, termasuk golongan profesional, akan datang dan memberi pandangan, terutama tentang apa perlu PAS lakukan untuk menang semula di Terengganu dalam pilihanraya kelak," katanya.

Mustafa berkata, kongres tersebut akan menaikkan semangat penyokong dan ahli PAS dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.


PAS memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999 tetapi Barisan Nasional (BN) berjaya merampasnya semula dari parti pembangkang itu dalam pilihanraya umum 2004.

Bagaimanapun, Mustafa berkata, berikutan sokongan besar rakyat, PAS yakin akan dapat merampas semula Terengganu dalam pilihanraya umum akan datang.

"Apapun, kami sangat memerlukan pandangan dan cadangan orang ramai bagi memantapkan lagi jentera pilihanraya parti menjelang pilihanraya umum akan datang," katanya.

Mustafa berkata, kongres tersebut juga boleh menjadi medan orang ramai untuk mendapatkan maklumat terbaru mengenai politik Terengganu sejak BN memerintah negeri itu sejak tiga tahun lalu.

Ketika ini, PAS cuma mempunyai empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)) dan gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di Terengganu dalam pilihanraya umum lalu.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59