Friday, 22 June 2007

KERA MELAKA GIGIT BUDAK HINGGA PARAH


MELAKA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera parah digigit seekor kera jantan liar ketika bermain bersama beberapa sepupunya berusia antara tiga hingga lima tahun di atas pangkin di halaman rumah keluarganya di Padang Temu, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Nornazira Norazhar yang digigit di bahagian depan dan belakang kelengkangnya kini terpaksa dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Melaka (HM) selepas doktor mendapati luka yang dialaminya agak parah dan memerlukan pembedahan segera.

Menurut nenek saudara mangsa, Naemah Rahmat, 56, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi ketika Nornazira dan beberapa sepupunya leka bermain di atas pangkin di depan rumahnya.

Katanya, ketika itu dia berada di dalam rumah apabila terdengar suara kanak-kanak menjerit sambil menangis.

Beliau berkata, sebaik mendengar jeritan itu, anak lelakinya, Mazlan Wahab, 25, yang juga bapa saudara Nornazira yang kebetulan berada di pintu dapur rumahnya terus berlari ke arah kanak-kanak itu.

“Ketika itulah, Mazlan terlihat sepasang kera berada berhampiran anak saudaranya dan terus membaling batu ke arah haiwan berkenaan.

“Berikutan itu, mak cik dan beberapa ahli keluarga lain termasuk ibu Nornazira, Izurah Ismail membawa Nornazira ke HM untuk rawatan lanjut. Ketika itu, saya lihat bahagian bawah pahanya berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Naemah berkata, memang banyak kera berkeliaran di kampung itu bagi mencari makanan dan dipercayai menghuni belukar berhampiran.

Beliau berkata, dianggarkan antara 30 hingga 40 kera menghuni kawasan belukar itu dan sering ke rumah penduduk mencari makanan.

“Ada kalanya kera berkenaan mencuri makanan yang ada di dapur selepas mencuri masuk, malah susu cair dan sebagainya turut dilarikan.

“Keadaan ini membimbangkan kami kerana ia membabitkan keselamatan kanak-kanak yang selalu bermain di halaman rumah, malah orang dewasa pun turut takut disebabkan haiwan berkenaan bersikap ganas apabila cuba dihalau,” katanya.

Sementara itu, ketua kampung Kampung Padang Temu, Sidang Musa Salam berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri diminta mengambil tindakan segera menghapuskan kera berkenaan.

"Kalau boleh saya harap Perhilitan memasang perangkap atau menggunakan apa jua kaedah yang sesuai untuk mengurang atau menghapuskan terus kehadiran kumpulan kera di kampung ini," katanya.

Hmetrok

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59