Thursday, 17 May 2007

SELAMAT HARI GURU



Detik 16 Mei adalah detik yang sangat bermakna kepada warga negara Malaysia yang bergelar guru. Sama ada guru tadika, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah dan guru agama,pensyarah IPT, mereka semua adalah guru yang mendidik murid-murid supaya menjadi insan mulia di hari muka.

Pengorbanan guru tetap akan dilafazkan dan dijelmakan setiap kali menjelang 16 Mei pada setiap tahun. Jasa guru akan disebut-sebut oleh pihak pemerintah sehinggalah kepada murid-murid yang masih bersekolah. Guru akan dilihat sebagai lilin yang sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.

Allahyarham Dato’ Usman Awang pernah menulis sebuah sajak bertajuk Guru Oh Guru pada tahun 1979 yang didedikasikan kepada guru-guru yang terus menabur bakti dan jasa. Diantaranya ;

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Sejak dari mula-mula PASTI di asaskan, Guru-gurunya terus komited memberikan sepenuh tenaga, masa dan jiwa raga mereka untuk disumbangkan kepada institusi pendidikan Islam ini. Kita sungguh kagum dengan pengorbanan mereka yang sanggup menyerahkan diri kepada PASTI sebagai tenaga pengajar. Sebagaimana yang kita tahu mengajar di PASTI tidak sama dengan mengajar di tadika kerajaan ataupun swasta yang lain yang mungkin mendapat imbuhan dunia yang lebih besar.

Guru-guru PASTI masih mampu berdiri kukuh memperjuangkan pendidikan dan masa depan PASTI walaupun mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan. Elaun yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa menguruskan pentadbiran PASTI.

Terlalu besar pengorbanan mereka jika kita ingin bandingkan dengan apa yang kita berikan kepada mereka. Ada Guru PASTI yang hanya menerima elaun RM100 sebulan tetapi masih mampu tersenyum bangga mendidik anak bangsa ke arah Islam. Malah ada antara mereka menggunakan wang elaun mereka sendiri untuk membeli alat bantuan mengajar (ABM) dan sebagainya demi untuk meningkatkan taraf pegajaran dan pembelajaran.

Sesungguhnya pengorbanan dan jihad mereka ini amat disanjungi. Pada masa yang sama kami Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil akan cuba sedaya upaya untuk membantu menjaga kebajikan guru-guru dan bersedia untuk berkongsi apa juga masalah bagi meningkatkan kesejahteraan mereka dan institusi PASTI itu sendiri.

Akhirnya, Dewan Pemuda PAS Bukit Katil (DPPBK) ingin merakamkan ucapan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru-guru khasnya Guru PASTI. Jasa kalian terlalu besar untuk dinilai dengan wang ringgit. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan akan dinilai sebagai amalan yang mulia di sisiNya. Pengorbanan guru-guru PASTI pengorbanan kelas pertama.

Khairuddin Ismail
Ketua Jabatan PASTI
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59