Thursday, 3 May 2007

SAMBUTAN 1 MEI 2007:DATARAN BANDARAYA JOHOR BARU BERGEMA DENGAN TUNTUTAN PEKERJA



1hb Mei ,Kuala Lumpur senyap sunyi akan tetapi di Dataran Bandaraya , di Johor Baru bergema laungan slogan pekerja kerana Sambutan Mei 1, buat kali pertamanya diadakan di negeri Johor. Tahun ini merupakan tahun ke -14 Sambutan Mei 1 dianjurkan oleh Jawatankuasa penganjur Mei 1. Sambutan tahun ini dianjurkan bersama oleh JERIT, SUARAM, Parti Sosialis Malaysia , DEMA, PAS, PRM , DAP, RAKAN, kumppulan Pelajar dari UTM dan ramai kumpulan lagi.

Hujan lebat pada awal pagi reda dan memberi laluan kepada sambutan hari bersejarah ini diadakan.Lebih kurang jam 9 pagi, semua bas dari Selangor tiba di tempat sambutan Mei 1, Dataran Bandaraya JB lebih awal daripada waktu sambutan iaitu 10 pagi. Ini menambahkan semangat penganjur tempatan apabila melihat banjiran kelas pekerja dari semua sektor di sana. Sebelum pukul 10 pagi, bas- bas dari Perak tiba di tempat sambutan bersejarah ini. Lebih kurang 600 orang membanjiri kawasan Dataran Bandaraya. Kerisauan dapat dilihat di muka pegawai Majlis Bandaraya Johor Bahru apabila mereka mula tercari-cari siapakah penganjur untuk hari bersejarah ini.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis Saudara Nazman, Saudara Letchumanan dan Saudara Nyam. Program diteruskan dengan bacaan puisi yang bertajuk Mei 1, oleh Saudara Giman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) . Suasana bertambah semangat lagi apabila wakil pekerja ladang, Sdra Velayudham menegaskan bahawa pekerja ladang telah menyumbang ke arah pembangunan negara tetapi mereka masih hidup tertindas sehingga kini. Setelah 2 lagi ucapan dari wakil petani dan peneroka dari Johor, upacara pelancaran tema dan logo dijalankan.

Pelancaran tema dan logo hari bersejarah ini dilakukan oleh Gabungan Anak Muda dan Pelajar(GAMP) dengan sketsa yang berlandaskan tema tahun ini “50 Tahun Merdeka, Pekerja Masih Dijajah”. Sketsa ini menggambarkan keadaan pekerja sebelum merdeka dan selepas merdeka. Lakonan menggambarkan bahawa keadaan pekerja sekarang serupa seperti sebelum zaman merdeka, di mana eksploitasi terhadap pekerja berleluasa dan ini diakhiri dengan para pekerja menumbangkan golongan kapitalis yang menindas mereka.

Program diteruskan dengan ucapan daripada wakil peneroka Kampung Berembang. En Anizan yang berkongsi pengalaman perjuangan mereka di Kampung Berembang dan juga menegaskan bahawa peneroka bandar mempunyai hak dan tidak boleh diusir mengikut suka hati pihak pemerintah. Wakil anak muda dan pelajar, Sdra Amin Yusof pula menyeru golongan mahasiswa untuk sentiasa bersama masyarakat dalam memperjuangkan keadilan dan hak asasi mereka.

Tidak harus dilupakan, 8 jam kerja sehari yang dinikmati sekarang adalah hasil tumpahan darah perjuangan kelas pekerja pada tahun 1880-an di Amerika yang membawa kepada pengikitirafan 1 Mei sebagai hari pekerja. Sejarah perjuangan hari keramat ini dilakonkan oleh rakan- rakan aktivis dari Community Development Centre (CDC). Setelah beberapa lagi ucapan wakil pekerja, persembahan anak- anak Kg. Berembang menghiasi suasana dengan nyayian yang menceritakan perjuangan hak asasi mereka untuk rumah!

Sambutan Mei 1 2007 di Johor diakhiri dengan pembacaan deklarasi tuntutan pekerja dan nyanyian lagu Internasional. Deklarasi Mei 1 2007, disokong oleh 94 organisasi, satu jumlah yang tinggi kalau dibandingkan dengan tahun-tahun lepas. Semasa pembacaan deklarasi Mei 1 2007, ramai yang hadir mara ke hadapan bersama- sama kain rentang yang membawa tuntutan mereka. 13 tuntutan pekerja sempena Hari Pekerja 2007 dibacakan dengan kuat dan penuh semangat. Akhirnya, lagu Internasional iaitu lagu perjuangan pekerja bergema di Dataran Bandaraya JB dengan kibaran tangan perjuangan, tidak lupa juga laungan “Hidup Pekerja”, “Hidup Perjuangan” dalam tiga bahasa

1 Mei akan sentiasa mengingatkan kelas pemerintah akan kekuatan dan semangat kelas pekerja di seluruh dunia yang telah berjaya mengalahkan kapitalis untuk mendapatkan hak mereka. Semangat dan solidariti pekerja pada Mei 1 1886 harus terus bara di jiwa setiap pekerja untuk menuntut hak mereka kerana penindasan terhadap pekerja terus berlaku sehingga hari ini.

50 Tahun Merdeka; PEKERJA MASIH DIJAJAH!
Kita tiada apa untuk dihilangkan, hanya rantai penindasan sahaja!
Kita ada seluruh dunia untuk dimenangi
HIDUP PEKERJA! HIDUP PERJUANGAN!


Oleh : Thevarajan, JERIT (Jaringan Rakyat Tertindas) dari Blog Ronnies Liu

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59