Tuesday, 8 May 2007

PENGUSAHA TEKSI MERUNGUT PENDAPATAN BERKURANGAN


Pengusaha dan pemandu kereta sewa di Melaka menghadapi masalah mendapatkan penumpang berikutan kewujudan Bas Panorama yang kini beroperasi di beberapa lokasi tertentu di bandar Melaka.

Berikutan itu, rezeki pemandu dan pengusaha kereta sewa semakin terhad disebabkan peraturan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang mereka mengambil dan menurunkan penumpang di mana-mana laluan digunakan bas berkenaan.

Pemandu kereta sewa yang juga setiausaha merangkap Bendahari Penaja Persatuan Kereta Sewa Melaka Sentral (Perkemas), Azmi Daud, 54, berkata pemandu atau pengusaha kereta sewa kini dibebani masalah berikutan ketiadaan penumpang sebaik operasi bas panorama bermula bulan lalu.

Katanya, laluan yang ditetapkan bagi setiap kereta sewa hanya dibenarkan mengambil atau menurunkan penumpang di luar Bandar Melaka ternyata membebankan mereka.

Beliau berkata, laluan atau lokasi operasi kereta sewa masih tertakluk di bawah peraturan sedia ada iaitu pemandu tidak dibenarkan mengambil penumpang di mana-mana lokasi yang ditetapkan untuk teksi dan bas henti-henti.

“Kalau keadaan seperti ini kekal selamanya, maka kami tidak mempunyai peluang mendapatkan penumpang dan sekali gus menyebabkan pemandu kereta sewa terpaksa menanggung beban yang sangat serius.

“Bagaimana kami hendak membayar balik wang pinjaman kereta, menanggung keluarga dan sebagainya jika tidak ada penumpang.

“Ada di kalangan pemandu kereta sewa terpaksa meminjam wang daripada along semata-mata hendak menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Apa yang menyedihkan ialah apabila ada pemandu yang tidak dapat mencari penumpang sehingga dua atau tiga hari,” katanya ketika di temui, semalam.

Azmi mendakwa, peraturan yang diguna pakai pada masa ini adakalanya menyekat mata pencarian pemandu kereta sewa hinggakan mereka menderita kesempitan wang.

Sebagai contoh, pemandu teksi bermeter dari luar negeri seperti Kuala Lumpur dan Johor menghantar penumpang sehingga ke negeri ini dengan alasan membawa pelancong sedangkan peraturan menetapkan setiap teksi bermeter hanya dibenarkan bergerak sejauh 156 kilometer sahaja di kawasan bandar.

“Dalam kejadian terbaru, ada di antara pemandu kereta sewa dikenakan saman oleh penguat kuasa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) apabila mereka memasuki laluan yang digunakan oleh Bas Panorama.

“Kami memang menyokong apa jua usaha yang dilakukan kerajaan negeri untuk kemajuan tetapi malangnya nasib kami seolah-olah dihimpit oleh kemajuan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu memandang serius masalah yang mereka hadapi kini dan jika boleh sediakan beberapa lokasi tambahan supaya kereta sewa dapat beroperasi dengan selesa.

Harian MeTROK

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59