Wednesday, 2 May 2007

PENGUNDI CINA BERUBAH PENGUNDI MELAYU SEMAKIN BINGUNG



Pengundi Cina jelas berubah arah dengan memberikan sedikit sokongan tambahan kepada pembangkang seperti yang ditunjukkan pada Pilihanraya Kecil Machap dan Ijok baru-baru ini.

Namun fenomena itu tidak berlaku di kalangan pengundi melayu. Walau apa pun isu, kezaliman, penyelewengan dan tekanan yang dilakukan dan dikenakan oleh kerajaan Islam Hadhari nampaknya tidak memberikan kesan kepada pengundi Melayu kerana mereka mudah tertipu dengan janji dan pujuk rayu Islam Hadhari.

Malaysiakini melaporkan bahawa pengundi Cina berubah sokongan dalam pilihanraya kecil Ijok Sabtu lalu kerana mereka tidak berpuas hati dengan rekod perkhidmatan wakil rakyat sebelum ini serta beberapa isu sensitif di peringkat nasional, kata Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting.

Dalam pilihanraya kecil Ijok, calon BN K Parthiban, 38, menewaskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 61, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 1,850 undi.

Walaupun majoriti undi yang diperoleh BN bertambah berbanding pilihanraya umum 2004, sokongan kaum Cina kepada BN dikatakan merosot sebanyak kira-kira 10 peratus.

Menurut laporan Bernama, Ong berkata, berdasarkan analisis pengundi Cina di Ijok, di kawasan tertentu undi Cina memang telah beralih menyokong Pembangkang". Contohnya,di pekan Ijok, BN hanya menang dengan majoriti 21 undi.

"Di Kampung Ijok, bersebelahan pekan Ijok, kita kalah 116 undi. Saya fikir di kawasan tertentu, perubahan sokongan itu tidak begitu besar. Secara keseluruhan, BN masih mendapat sokongan pengundi Cina, terutama di kampung-kampung baru Cina,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Wesak di kuil Kwan Inn Teng di Petaling Jaya hari ini.

Di Batang Berjuntai Selatan dan Utara – dua kawasan yang pengundi Cina dominan – Ong berkata BN masih memperoleh kira-kira 500 undi daripada pengundi Cina.

"Semasa kempen, mereka (pengundi Cina di Ijok) ada bertanya kami kenapa baru sekarang kamu hendak lakukan itu dan ini, kenapa tidak sebelum ini”, katanya.

‘Hati terluka’

Ong berkata, mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan "beberapa pemimpin tertentu yang dianggap telah melukakan hati dan perasaan orang lain".

"Kami telah cuba menjelaskan kepada mereka bahawa dasar-dasar kerajaan dilaksanakan berdasarkan keputusan kolektif dengan mengambilkira pandangan pelbagai kaum dan bukannya berdasarkan kenyataan individu tertentu semata-mata," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, mereka masih tidak dapat menerima penjelasan tersebut "kerana mereka tidak dapat melupakan apa yang dikatakan oleh orang ini".

"Tetapi soalnya berapa peratus (yang beralih sokongan) kerana beberapa kawasan peti undi mempunyai pengundi yang bercampur-campur," katanya.

Katanya, MCA, sebagai parti yang mewakili kaum Cina dan parti komponen kedua terbesar dalam BN, tidak menafikan terdapat peningkatan sokongan kaum Cina kepada pembangkang kali ini berbanding pilihanraya umum lalu.

"Kami akan bekerja keras dan turun padang untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka. Berbanding (pilihanraya umum) 2004, memang ada perubahan mood. Sejauhmana, kami belum dapat mengira peratusannya lagi," tambahnya.

Ditanya sama ada masalah dalaman parti telah menghakis undi Cina kepada BN, Ong berkata: "Saya tak fikir ia faktor utama yang telah menjejaskan keputusan pilihanraya kecil ini."

Sumber Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59