Thursday, 17 May 2007

LARANGAN BERHENTI MINUM TIDAK PERLU KALAU PEKERJA FAHAM AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB


BUKIT KATIL: Ketua Lajnah Kerajaan dan Swasta, Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Sofian Abu Bakar menjelaskan bahawa larangan Kerajaan Terengganu yang tidak membenarkan kakitangannya keluar minum 10-15 minit tidak perlu jika kerajaan negeri tersebut berjaya mendidik mereka memahami amanah dan tanggungjawab masing-masing.

"Dalam Islam kerja adalah amanah dan tanggungjawab, maka sebagai seorang Islam sudah tentu mereka memahami tugas mereka dan untuk keluar minum 10-15 minit saya rasa tak ada masalah kerana mereka yang faham Islam sudah tentu akan bertanggungjawab menyelesaikan kerja seperti yang diamanahkan" kata Sofian ketika dihubungi di sini petang ini.

"Naluri manusia yang memerlukan makan dan rehat nampaknya tidak difahami oleh Idris Jusoh, takkan keluar minum 10-15 minit pun tidak boleh asalkan mereka memang minum 10-15 minit saya kira tidak menjejaskan produktiviti mereka. Malah ketua mereka boleh memantau masa keluar masuk mereka" kata Sofian yang merupakan seorang pekerja industri pembuatan.

Sofian juga berkata kerajaan Negeri Terengganu nampaknya gagal mendisiplinkan pekerjanya sehingga terpaksa mengambil langkah mundur ke belakang seperti ini.

"Biasanya pekerja bawah ini mereka mengikut perangai pekerja atasan, mungkin pekerja atasan di sana ramai yang 'curi tulang' maka perangai buruk ini diikuti oleh pekerja bawahan dan ini memaksa Kerajaan Islam Hadhari Idris Jusoh bertindak tidak bijak seperti ini" tambah Sofian dengan nada sinis.

Media melaporkan bahawa bermula pada 1 Jun ini, semua kakitangan awam kerajaan negeri Terengganu tidak lagi dibenarkan keluar dari pejabat mereka untuk sarapan pagi dan minum petang seperti yang diamalkan sekarang bagi mengelakkannya membuang masa.

Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mokhtar Nong berkata mereka bagaimanapun diberi kelonggaran untuk minum pagi antara 10 dan 15 minit sahaja di kawasan kantin dan tempat minum di pejabat masing-masing.

Surat pekeliling mengenai larangan tersebut akan diedarkan tidak lama lagi yang melibatkan seramai 13,000 kakitangan awam kerajaan negeri termasuk agensi kerajaan dan badan berkanun, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata selaras dengan arahan itu juga, kerajaan negeri dengan kerjasama ketua pejabat masing-masing akan menjalankan pemantauan dan mereka yang ingkar bakal dikenakan tindakan tatatertib.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59