Friday, 11 May 2007

KONGRES PKR : ANWAR TERIMA 130 PENCALONAN, RAHMAN OSMAN 7 PENCALONAN


Pemilihan kali kedua Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dijadual pada 26 ini, dijangka menyaksikan perebutan jawatan utama parti itu.

Seramai 17 orang dicalonkan untuk bertanding tiga jawatan naib presiden manakala 146 lagi layak bertanding 20 kerusi Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT).

Bagaimanapun tumpuan ialah kepada perebutan jawatan presiden selepas bekas bendahari PKR, Abdul Rahman Othman mengesahkan akan mencabar Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan tersebut dalam kongres nasional parti itu.

Selepas 167 bahagian selesai bermesyuarat, Anwar menerima 120 pencalonan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat 10 pencalonan manakala Abdul Rahman pula mendapat tujuh pencalonan.

Wan Azizah, yang menerajui parti itu yang ditubuhkan ekoran pemecatan Anwar daripada kerajaan pada 1998, telah menyuara kesediaannya untuk memberi laluan kepada suaminya untuk menerajui PKR.

Anwar, bagaimanapun dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga April tahun depan.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, penyandangnya, Dr Syed Husin Ali menerima 73 pencalonan, diikuti oleh Naib Presiden, Azmin Ali (54) dan bekas ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Nor (7).

Ekoran pengumuman Azmin untuk tidak akan bertanding jawatan nombor dua itu, begitu juga dengan Ezam, maka Syed Husin dijangka mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding - kecuali Azmin mengubah fikiran.

Azmin putuskan minggu depan

Ini berikutan Azmin dilaporkan memberitahu Harakahdaily baru-baru ini yang dia mungkin menimbang semula keputusannya itu.

Ketika dihubungi, Azmin memberitahu malaysiakini, beliau akan membuat keputusan mengenainya awal minggu depan.

Untuk jawatan naib presiden pula, penyandangnya, Dr Lee Boon Chye, serta muka baru, Datuk KS Nallakaruppan, yang juga ketua PKR Kepong, dan Ketua Wanita, Fuziah Salleh menerima pencalonan tertinggi.

Mereka masing-masing menerima 85, 57 dan 42 pencalonan.

Turut dicalonkan termasuklah penyandang R Sivarasa (38), Azmin (34), Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Dr Jeffrey Kitingan (33) dan Mustaffa Kamil Ayub (33), yang dilantik sebagai naib presiden dalam pemilihan parti yang lalu.

Perlembagaan PKR membenarkan perlantikan sehingga tiga naib presiden, di samping tiga yang dipilih

Bagi jawatan MKT pula, bekas tahanan ISA, Dr Badrul Amin Bahron mendahului senarai calon dengan memperolehi 93 pencalonan, diikuti pemimpin dari Pulau Pinang, Dr Mansor Othman Dr Mansor Othman (84) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (adun) Padungan, Dominique Ng (79).

Yang lainnya ialah Dr Xavier Jeyakumar (69), Christina Liew (64), Johari Abdul (64), Dr Sanusi Osman (58), Irene Fernandez (57), Sivarasa (48), Jeffrey (47), Cheah Kah Peng (44), Saiful Izham Ramli (41) dan Tian Chua (40).

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59