Tuesday, 29 May 2007

KES LINA JOY : UMAT ISLAM DIMINTA SOLAT HAJAT


PEGUAM Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Saudara Zamri telah menghadiri mesyuarat Front Bertindak Anti-Murtad (Forkad) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Anjung Rahmat malam tadi (28 Mei).

Beberapa ketetapan telah dibuat berhubung Kes Azlina Jailani @ Lina Joy yang akan diputuskan pada esok hari, 30 Mei 2007 di Mahkamah Persekutuan, Palace Of Justice, Putrajaya.

• Solat hajat di seluruh negara: Seluruh umat Islam diseru untuk sama-sama mengerjakan solat hajat selepas Isyak di seluruh masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara pada hari Selasa 29 Mei 2007 agar keputusan Mahkamah Persekutuan 30 Mei 2007 mengenai kes Azlina Jailani memihak kepada Islam.

Pihak Forkad dan Pembela menggesa agar semua pihak yang prihatin tentang isu ini menyebarkan mesej ini dan menggerakkan majlis solat hajat di tempat masing-masing. Kepada semua ahli PAS, DPPWP meminta agar program-program solat hajat ini dilakukan di semua pusat tarbiyah dan markas gerakan pilihan raya serta mengajak orang ramai untuk turut hadir.

• Tanda keprihatinan: Bagi wakil-wakil NGO, parti politik, umat Islam dan ahli PAS yang akan menghadiri sidang mahkamah pada 30 Mei 2007 , tuan-puan dijemput hadir lebih awal iaitu bermula jam 8:30 pagi bagi mengambil tempat untuk mendengar keputusan.

Kita berkumpul hari tersebut untuk mendengar keputusan kes Azlina Jailani oleh mahkamah. Perhimpunan ini bagi menzahirkan keprihatinan kita terhadap masa depan Islam di negara kita. Ia tidak bertujuan menimbulkan permusuhan dengan mana-mana pihak, jauh sama sekali mencetuskan suasana ketegangan. Sebarang silap-laku dipihak umat Islam yang hadir akan digunakan untuk memburukkan imej Islam dan Umat Islam di Malaysia. Juga tidak mustahil bahawa ada pihak-pihak tertentu yang akan cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan untuk tujuan yang sama.

Dengan latarbelakang tersebut, Forkad dan Pembela menyenaraikan garis panduan berikut untuk dipatuhi oleh semua hadirin demi kebaikan bersama:

(a) Mengambil tempat dengan tenang dan menunggu dalam keadaan duduk. Sangat digalakkan berada dalam keadaan wuduk dan mengisi waktu dengan munajat dan zikrullah.

(b) Pimpinan utama organisasi dan peguam berkaitan perlu diberikan keutamaan untuk masuk ke ruang dalam mahkamah.

(c) Orang ramai diminta untuk berkumpul di luar pekarangan mahkamah dengan aman.

(d) Laporan selari mengenai keadaan di mahkamah akan diberikan dari semasa ke semasa.

(e) Dilarang meninggikan suara, mencerca atau mengutuk sesiapa.

(f) Pastikan suasana terkawal dan aman.

(g) Berikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis dan pengawal.

Forkad dan Pembela juga akan menugaskan beberapa orang wakil khas untuk membantu mengawal suasana selari dengan garis panduan di atas. Semua yang hadir diharap dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada mereka. - lanh

Oleh Kamaruzaman Mohamad, Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Forkad Wilayah Persekutuan

Harakahdaily

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59