Saturday, 26 May 2007

KES LINA JOY DIPUTUSKAN RABU INI




Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan 30 Mei ini untuk memutuskan sama ada Azlina Jailani yang menukar namanya kepada Lina Joy boleh menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya.

Perkara itu disahkan oleh peguam Lina, Benjamin Dawson ketika dihubungi di sini hari ini.

Lina, 42, merayu terhadap penolakan Mahkamah Rayuan terhadap permohonannya untuk menggugurkan perkataan "Islam" dari kad pengenalannya.

Rayuannya di mahkamah itu ditolak pada 19 Sept, 2005, dalam keputusan majoriti 2-1, untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonannya bagi menggugurkan perkataan "Islam" dari kad pengenalannya atas alasan keputusannya keluar dari Islam tidak disahkan oleh Mahkamah Syariah atau mana-mana pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada 23 April, 2001, Mahkamah Tinggi memutuskan sebagai seorang Islam, Lina, tidak boleh keluar dari Islam dan bahawa isu itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Dalam samannya, Lina menamakan Majlis Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan, Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad sebagai responden.

Pada 2 Feb 1997, Lina memohon kepada JPN untuk menukar namanya atas alasan beliau tidak lagi memeluk Islam dan telah masuk Kristian.

Permohonan itu ditolak oleh JPN pada 11 Ogos 1997.

Permohonan keduanya kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy diluluskan dan JPN memintanya memohon kad pengenalan baru.

Lina mengemukakan permohonan bagi kad pengenalan baru dan pada November 1999, beliau diberikan kad pengenalan baru dengan nama Lina Joy dan perkataan "Islam" dicatatkan.

Pada 11 Mac 2000, Lina memohon kepada JPN untuk menggugurkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalan barunya tetapi permohonannya ditolak atas alasan beliau perlu mengemukakan sijil atau perintah daripada Mahkamah Syariah atau mana-mana pihak berkuasa agama Islam.

Pada 4 Julai tahun lepas, Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Alauddin Mohd Sheriff telah menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah daripada pihak berkenaan dalam rayuan itu.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59