Tuesday, 8 May 2007

KERAJAAN ISLAM HADHARI MELAKA HINA NELAYAN


Kerajaan Islam Hadhari Melaka pimpinan Ibnu Rustum menghina nelayan Pantai Klebang dan Pokok Mangga apabila memberikan pampasan yang langsung tidak munasabah dengan akal yang waras. Mereka terasa dihina dengan serendah-rendahnya apabila pampasan yang diberikan berjumlah RM45-RM360 sahaja. Sebahagian dari mereka hanya menerima RM45 suatu nilai yang cukup menghinakan mereka.

Nelayan tradisional yang menjalankan kegiatan melanggai dan menyungkur di Pantai Klebang itu hilang mata pencarian apabila kawasan itu ditambak dan kerajaan negeri bersetuju untuk membayar pampasan kepada mereka.

Sebahagian daripada nelayan yang menerima pampasan itu, membabitkan warga emas yang sudah menjalankan kegiatan berkenaan lebih 30 tahun lalu.

Pemberian yang dikatakan sebagai pampasan pendahuluan itu tidak sama nilainya apabila ada di antara nelayan berkenaan menerima pampasan antara RM45 hingga RM360.

Malahan, ada yang pernah menerima pampasan menerusi kehilangan mata pencarian di tempat lain turut menerimanya untuk kali kedua.

Nelayan yang kecewa dengan nilai pampasan yang diberikan itu bertindak memulangkan semula cek berkenaan.

Pengerusi Bertindak Membantu Nelayan Klebang Besar, Klebang Kecil dan Pokok Mangga, Mohd Yusof Hassan, berkata walaupun menerusi pampasan yang diterima itu dikatakan pampasan awal tetapi mengapa nilainya berbeza.

Nelayan itu juga mendakwa mereka tidak diberitahu bila baki pampasan selanjutnya akan diterima.

Sepatutnya, mereka (nelayan) diberi pampasan yang setimpal dan pihak kerajaan negeri atau agensi terbabit perlu membuat penilaian secara khusus berapa jumlah yang sepatut diterima.

Seramai tujuh daripada penerima pampasan itu adalah mereka yang sudah meninggal dunia.

“Semua nelayan terbabit hilang mata pencarian dan terpaksa mencari kerja lain untuk menampung kehidupan mereka, adakah patut mereka menerima cek bernilai RM45 dengan bayaran diberikan untuk akaun penerimanya.

“Sedangkan jumlah itu tidak mencukupi untuk mereka membuka akaun baru bagi mendapat pampasan itu,” katanya selepas Majlis Perjumpaan dan Penyerahan Cek Pendahuluan Projek Tambak Laut Nelayan di Klebang Besar, Klebang Kecil dan Pokok Mangga, kelmarin.

Penyerahan pampasan itu disempurnakan Exco Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri, Datuk Md Yunos Husin.

Mohd Yusof berkata, mereka menerima jemputan menerima pampasan secara mengejut pada tengah hari Jumaat lalu bagi menghadiri majlis pada pagi Sabtu lalu.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59