Monday, 14 May 2007

HATI-HATI DENGAN JANJI AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI AYER MOLEK






Hj Salim dan Rafa'i sedang berbual dengan Wak.








Penduduk Kg Paya Redan, Paya Dalam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan janji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Md Yunos Hussin yang berjanji bahawa projek pembinaan bandar baru yang akan ‘meranapkan’ kampung itu telah dibatalkan oleh kerajaan Negeri Melaka.

Dalam pertemuan dengan penduduk kampung di Balai Raya kampung tersebut baru-baru ini, Yunos telah berjanji projek ini telah dibatalkan secara lisan sahaja tanpa 'black & white'. Pertemuan tersebut telah diatur secara mengejut oleh pihak ADUN berikutan bantahan beramai-ramai penduduk terhadap projek yang sudah pasti akan menlenyapkan kampung kesayangan dari bumi Melaka ini.

Diberitakan bahawa sebahagian besar anak-anak penduduk kampung ini telah pulang dan bersama-sama ibubapa dan saudara mereka berdialog dengan YB Yunos dan pegawai-pegawai Pejabat Tanah Daerah.

Salah seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Wak, 60 memberitahu bahawa penduduk kampung tidak dapat menerima rancangan pembinaan bandar baru di kampung mereka kerana sudah pasti mata pencarian mereka akan berkubur.

“Macamana kami nak beri makan anak bini kami, mana kami nak pergi, nak buat rumah sekarang bukan murah. Kami tidak mahu merempat di negeri sendiri” kata Wak dengan bersemangat dalam loghat Jawanya.

“ Tanah kami juga akan dibayarkan dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran sebenar, ini namanya hendak menipu rakyat dan mengambil untung atas kesusahan orang susah seperti kami” ujar Wak yang juga seorang pekebun kecil.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Salim Tahir berkata apa yang dikesalkan oleh penduduk ialah tindakan kerajaan yang seolah-olah menyembunyikan projek ini dari pengetahuan penduduk sehinggalah ianya ‘dibocorkan’ oleh salah seorang penduduk kampung yang bekerja di salah sebuah agensi kerajaan negeri.

“Tindakan kerajaan negeri merahsiakan projek ini dari penduduk kampung amat dikesalkan kerana ianya melibatkan masa depan dan kedaulatan orang Melayu. Kita tidak menentang pembangunan tetapi apa yang kita tentang pembangunan yang ternyata meminggirkan orang melayu” kata Hj Salim yang juga merupakan penduduk Kg Paya Dalam bersebelahan dengan Kg Paya Redan.

“Hampir semua projek pembangunan seperti di negeri Melaka ini meminggirkan orang Melayu kerana apabila bangunan di bina dengan harga ratusan ribu maka sudah pasti orang Melayu tidak mampu membelinya. Jadi bangunan tanah yang dibangunkan ini dibeli oleh orang lain. Akhirnya jumlah pemilikan tanah orang Melayu semakin hari semakin mengecil dan akhirnya pupus” ujar Hj Salim dengan kesal ketika lawatan beliau bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Bukit Katil dan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DPP Bukit Katil, Ahmad Rafa'i Hassan.

Kampung Paya Redan ialah sebuah perkampungan melayu yang jaraknya kira-kira 12 km dari Bandaraya Melaka. Ia didiami sebahagian besarnya oleh masyarakat keturunan Jawa, terletak di dalam Peti Undi Paya Dalam di DUN Ayer Molek. Penduduk kampungnya terdiri dari pekebun kecil getah dan kelapa sawit.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59