Monday, 21 May 2007

GAJI PILIHANRAYA



PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35% berkuatkuasa 1 Julai ini. Gaji disifatkan oleh ramai pihak sebagai gaji pilihanraya untuk memancing rakyat terutama kakitangan awam supaya 'taat' setia kepada kerajaan dalam pilihanraya nanti.

Kerajaan juga menaikkan kadar bantuan sara hidup atau COLA sebanyak 100%.

Gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 (iaitu Gred 1 hingga 16) dinaikkan 35%, Kumpulan Sokongan 1 (iaitu dari Gred 17 hingga 40), dinaikkan 25%, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dinaikkan 15%, dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi, dinaikkan 7.5%.

Kerajaan juga memutuskan untuk memberi kenaikan tambahan kepada Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sebanyak 20% di atas peratusan kenaikan gaji untuk semua anggota sektor awam yang diumumkan hari ini.

Pengumuman Perdana Menteri itu pada perhimpunan Hari Pekerja sektor awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, disambut tepukan gemuruh, dan di akhir ucapannya, Abdullah diberi penghormatan sambil berdiri oleh mereka yang hadir yang melaungkan "Hidup Pak Lah".

Beliau berkata secara keseluruhannya, kenaikan gaji ini berjumlah RM3.4 bilion bagi tahun ini, ataupun, perbelanjaan tambahan sebanyak RM6.8bilion setahun, manakala peningkatan kadar Cola melibatkan perbelanjaan tambahan RM600juta bagi tahun ini atau RM1.2bilion setahun.

Abdullah berkata faktor pertama yang diambil kira dalam membuat pertimbangan kenaikan gaji sektor awam adalah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang baik dalam tempoh lima tahun yang lalu iaitu purata 5.6% setahun.

Pertumbuhan ini, kata Abdullah, didorong oleh pertumbuhan pelaburan swasta serta imbangan dagangan melebihi RM1trilion.

"Pertumbuhan ini telah memungkinkan keadaan di mana kadar faedah, kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal rendah. Indeks Komposit Bursa Malaysia juga membayangkan kepesatan ekonomi negara dengan mencapai tahap paling tinggi barubaru ini," katanya.

Perdana Menteri berkata faktor kedua adalah keperluan untuk menarik serta mengekalkan modal insan yang berkelayakan, berprestasi tinggi dan bermotivasi dalam sektor awam.

Faktor ketiga ialah kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan besar kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Faktor keempat, kata Perdana Menteri, adalah kemampuan kewangan kerajaan di mana pengutipan cukai negara telah bertambah dengan ketara manakala keberkesanan perbelanjaan telah dapat ditingkatkan.

"Dalam memutuskan kenaikan gaji, kerajaan sentiasa berjaga-jaga akan kesannya kepada kewangan negara. Sebarang kenaikan gaji akan juga melibatkan pengiraan pencen serta elaunelaun tertentu.

"Dengan itu, kuantum kenaikan telah diputuskan secara cermat dan berhemat. Kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit perbelanjaan kerajaan daripada 5.3% dalam tahun 2003 kepada 3.5% tahun lalu dan pengurusan fiskal berhemat ini akan diteruskan," katanya.

Mstar

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

alghurabak said...

Assalamualaikum wrt,

Pesan saya kepada ahli-ahli PAS yang berkhidmat di sektor awam.

Biarpun apa alasan atau sebab kenaikan gaji kakitangan awam, saya amat berharap semoga kenaikan tersebut dapat digunakan dengan sebaiknya. Kita memang amat faham kenaikan ini tentunya gula-gula untuk pilihanraya akan datang.

Tetapi bagi ahli-ahli PAS yg turut sama terlibat dgn kenaikan gaji tersebut, dapatlah kiranya kira infakkan sedikit kepada jamaah. Kalau selama ni kita ada dan telah sedia memberikan infak kepada jamaah teruskanlah. Dan bila gaji naik sikit eloklah kalau kita tambah sikit infak pd jamaah. Saya cadangkan kalau ada yg naik 15%,elok juga 5% atau 10% kita buat potongan tetap ke mana2 akaun jamaah.

Sedarkah kita bahawa kalau RM50 kita bawa ke TESCO, tentu tak banyak benda yang kita boleh beli, tetapi kalau RM50 itu kita infakkan kepada jamaah, nescaya itu adalah pemberian yang amat besar maknanya.

Jumlah sama, tetapi berkatnya, manfaatnya amay jauh berbeza.

Sekian, wassallam.

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59