Tuesday, 29 May 2007

Belajar bahasa Cina tidak perlu jadi isu sensitif: Jiao Zong


GENTING HIGHLANDS: Presiden Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Ong Chiow Chuen berpendapat perkembangan pesat ekonomi di China dan trend pembelajaran Bahasa Cina di seluruh dunia akan membolehkan pembelajaran bahasa tersebut di negara ini tidak lagi dianggap sebagai suatu isu sensitif.

"Dengan adanya asas yang kukuh dalam bidang pembelajaran bahasa Cina di Malaysia, maka lebih ramai rakyat negara ini yang tidak fasih bertutur bahasa Cina mempunyai peluang untuk mempelajari bahasa itu, dan akhirnya akan memanfaatkan negara dan pertubuhan yang melabur di negara China.

"Pendidikan dan penguasaan bahasa Cina kini menjadi semakin penting seperti bahasa Inggeris yang kian lama merupakan bahasa antarabangsa di seluruh dunia," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Jiao Zong ke-56 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lawatan seminggu Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke China baru-baru ini. Tujuan lawatan rasmi tersebut yang bermula pada 19 Mei adalah untuk meneruskan usaha untuk mengantarabangsakan sistem pelajaran Malaysia.

Dalam hal ini, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Hon Choon Kim yang turut menyertai lawatan rasmi itu mengumumkan bahawa pihak kerajaan China bersetuju menghantar ahli akademik untuk melatih kira-kira 800 orang guru bahasa Cina di peringkat sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

Ong turut berharap lawatan oleh menteri dan timbalannya akan dapat mengubah pandangan oleh sesetengah pihak terhadap pendidikan bahasa Cina di negara ini dan ia tidaklah lagi dianggap sebagai isu sensitif atau penghalang terhadap perpaduan kaum di negara ini.

Hampir 100 anggota gabungan itu menghadiri mesyuarat agung tahunan itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting.

Mstar

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59