Tuesday, 24 April 2007

UNDILAH KHALID UNTUK SELAMATKAN SELANGOR DAN NEGARA - TUAN GURU PRESIDEN



PAS mengambil bahagian dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok kerana ada petanda rakyat mahukan perubahan melalui pilihanraya, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Oleh kerana itu, katanya, PAS menyokong calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ijok, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kita (PAS) tunjuk protes di Batu Talam dan Machap kerana membantah perjalanan pilihanraya yang tidak adil dan telus," kata Hadi ketika berceramah membantu Khalid di Bukit Badong dekat Ijok malam tadi yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Khalid akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban dari MIC. Kerusi DUN Ijok kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Datuk K Sivalingam pada 4 April lalu.

Ijok yang terletak di bawah Parlimen Kuala Selangor, mempunyai 12,272 pemilih, termasuk 39 pengundi pos. Dari jumlah itu, 51.04 peratus adalah pengundi Melayu, 28.16 peratus India dan 20.59 peratus Cina.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, PAS memang tidak puas hati dengan perjalanan pilihanraya di negara ini kerana ia tidak memberi keadilan kepada parti pembangkang yang bertanding.

Bagaimanapun, katanya, PAS terpaksa mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk membawa perubahan di negara ini.

“Amanah besar’

Abdul Hadi berkata, politik dan pemerintahan merupakan amanah yang besar kerana jika tersalah pilih, ia akan membawa kepada kehancuran.

"Sebagai contoh, di negara lain semua calon yang bertanding berpeluang muncul di televisyen bagi menerangkan polisi yang akan dibuat untuk dinilai oleh pengundi.

"Ada negara yang mengadakan debat di kalangan calon yang bertanding tetapi ia tidak dibuat di negara ini," katanya.

Abdul Hadi mendakwa, rakyat dibeli dalam setiap kali pilihanraya “kerana BN mahu memerintah sehingga kiamat”.

BN, katanya, memerintah sejak puluhan tahun lalu sedangkan di Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain sudah mengalami perubah parti memerintah dan pemimpin.

Sehubungan itu, Abdul Hadi meminta pengundi memilih Khalid untuk menyelamatkan Selangor dan negara.

"Khalid umpama sekuntum bunga yang indah, orang berakal, berpelajaran dan berpengalaman untuk mewakili penduduk Ijok," katanya.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59