Wednesday, 11 April 2007

PILIHANRAYA KECIL IJOK 28 APRIL, PENAMAAN CALON 19 APRIL


Suruhanjaya Pilihanraya (SPRI) hari ini mengumumkan bahawa pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Selangor akan diadakan pada 28 April ini.
Manakala hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil tersebut telah ditetapkan pada 19 April ini.

Kerusi DUN berkenaan kosong berikutan kematian wakil rakyatnya dari MIC Datuk K.Sivalingam Rabu lalu di Chennai, India kerana sakit jantung.

Pilihanraya kecil dijangka bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dengan calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setakat ini, Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim disebut-sebut bakal dipilih oleh parti itu bertanding di DUN Ijok

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengesahkan bahawa calon BN di Ijok adalah dari MIC.

Dengan itu, beliau yang juga Pengerusi Umno dan BN Selangor, menolak spekulasi bahawa BN akan meletakkan calon dari Umno bertanding di Ijok.

Calon berpotensi

Sebelum ini, Umno bahagian Kuala Selangor mendesak BN Selangor supaya meletakkan calon Umno bertanding di Ijok kerana majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Dilaporkan kerusi tersebut selama ini diperuntukan kepada MIC kerana kawasan pilihanraya Ijok mempunyai jumlah pengundi kaum India yang teramai di Selangor.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat BN Parlimen Kuala Selangor semalam, Mohd Khir berkata hal itu telah dipersetujui sebelum ini.

"Jika ada pertukaran kerusi dengan Umno atau parti komponen lain, ia hanya akan dilakukan setelah proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan," katanya.

Mohd Khir telah mengadakan perbincangan dengan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan Ketua Badan Perhubungan MIC Selangor Datuk G. Palanivel semalam mengenai senarai calon berpotensi untuk pilihanraya kecil itu.

Sementara itu, antara calon berpotensi ialah Ketua Penerangan MIC M.Saravanan; ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, R S Maniam dan S Murugavellu; Ketua Bahagian MIC Kuala Selangor P Thirumoorthy; dan anggota jawatankuasa kerja pusat MIC, T Mohan dan S Murugesan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59