Tuesday, 3 April 2007

Machap: Pertandingan satu lawan satu BN-DAP



MACHAP - Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, seperti yang dijangkakan, akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dengan calon DAP pilihanraya kecil pada 12 April ini.

Calon BN, Lai Meng Chong, 56, (kiri) menyerahkan borang pencalonannya kepada pegawai pengurus pilihanraya Hasim Ismail pada kira-kira jam 9.10 pagi, diikuti oleh calon DAP, Liou Chen Kuang (kanan), kira-kira 15 minit kemudiannya.

Pencalonan untuk pilihanraya kecil itu dibuka selama sejam mulai jam 9 pagi tadi di Kompleks Japerun, Bukit Bulat, Alor Gajah.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, yang juga Pengerusi MCA Melaka, pada 15 Mac lalu. Dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan Liou, 33, dengan majoriti 4,562 undi.

Lai adalah Naib Pengerusi MCA Alor Gajah dan setiausaha politik kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.

Beliau tiba di kompleks Japerun dengan diiringi kira-kira 4,000 penyokong BN yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Hadir sama termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalan Presiden Gerakan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Calon DAP pula diiringi ke pusat pencalonan oleh kira-kira 500 penyokong dengan diketuai penasihat parti pembangkang itu, Lim Kit Siang dan setiausaha agung parti, Lim Guan Eng.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59