Monday, 9 April 2007

ISU PECAT MUFTI : GERAKAN AKHIRNYA MOHON MAAF



KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Datuk Dr Tan Kee Kwong (Gambar) semalam memohon maaf berikutan kenyataannya terhadap Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria pada sidang akhbar semasa konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan di sini Ahad lepas.

"Saya dengan rendah hati dan ikhlas memohon maaf atas kenyataan itu," katanya dalam satu siaran akhbar hari ini, sambil menambah bahawa kenyataan berkenaan dibuat atas kedudukan peribadinya.

Dr Tan, yang juga anggota parlimen Segambut, berkata beliau tidak berniat menghina Islam dan Sultan Perak sebagai ketua agama Islam negeri itu.

Pada sidang akhbar berkenaan, Dr Tan menyatakan kebimbangannya berhubung tindakan memerintah orang bukan Islam menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah dan meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang menimbulkan ketegangan agama, dengan menyebut secara khusus kes yang melibatkan Harussani.

Sebuah akhbar berbahasa Ingeris melaporkan bahawa Gerakan Wilayah Persekutuan meluluskan usul mendesak pemecatan Harussani berkaitan perbuatan penyebaran SMS yang tidak berasas yang mendakwa pelayar Datuk Azhar Mansor telah murtad.

Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik hari ini menjelaskan bahawa tiada resolusi sedemikian diluluskan pada konvensyen berkenaan.

"Gerakan sedar sepenuhnya bahawa pelantikan mufti itu dibuat atas perkenan Sultan Perak. Kami hormati kuasa baginda sebagai pemerintah negeri itu," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di ibu pejabat parti itu di sini.

Mesyuarat itu adalah yang terakhir dipengerusikan Dr Lim sebagai presiden Gerakan setelah menerajui parti itu selama 26 tahun.

"Saya harap, dengan kenyataan dan penjelasan ini, isu berkenaan ditutup dan rakyat tidak melihatnya di luar konteks sebenar," kata beliau.

Satu perhimpunan agung luar biasa akan diadakan di ibu pejabat Gerakan esok bagi menerima persaraan Dr Lim. Ia juga akan menyaksikan pengesahan timbalan presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai pemangku presiden.

Dr Lim berkata beliau sedia menerima apa jua peranan yang diberi oleh Gerakan kepadanya setelah bersara.

Mstar

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59