Thursday, 26 April 2007

CALON BN BERSIFAT 'GANGSTER'. LAPORAN POLIS DIBUAT TERHADAPNYA




Seorang wartawan telah membuat laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban berhubung satu kejadian yang berlaku lebih setahun yang lalu.

Dalam laporannya semalam, M Yohalinggam, 39, mendakwa, dalam kejadian tersebut, Parthiban pernah mengugut untuk ‘menghabiskan kariernya sebagai seorang wartawan’

Dalam laporannya – yang dibuat di balai polis Kuala Selangor – Yohalinggam berkata, dia bimbangkan nyawanya dan anggota keluargannya mungkin dalam bahaya sewaktu pilihanraya kecil Ijok, yang pengundiannya akan diadakan Sabtu ini.

Pilihanraya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Parthiban, 38, yang juga setiausaha MIC Tanjung Karang, dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, 61.

“Saya sering terserempak dengan Parthiban dan anggota MIC yang lain di kawasan Batang Berjuntai dan Ijok. Saya bimbang sesuatu akan berlaku terhadap diri saya ekoran ugutan yang dibuat Parthiban terhadap saya tahun lalu,” kata Yohalinggam kepada malaysiakini.

Bagaimanapun, pihak Parthiban menyifatkan laporan polis itu dibuat bertujuan untuk mencemarkan nama baik calon BN tersebut.

“Insiden berlaku pada bulan Mac 2006. Mengapa tunggu hingga sekarang baru hendak membangkitkan semula perkara itu,” tanya seorang pembantu Parthiban ketika dihubungi hari ini.

“Lagi pula ianya adalah perkara kecil sahaja. Saya tidak fikir Parthiban benar-benar bermaksud untuk berbuat apa-apa terhadap wartawan tersebut,” tambahnya.

Parthiban tidak dapat mengulas mengenai perkara tersebut kerana sedang sibuk berkempen.

Masalah elektrik

Bagaimanapun, Yohalinggam berkata, kebimbangannya itu memang berasas.

“Laporan polis yang saya buat semalam adalah yang kedua mengenai insiden tersebut. Sebelum ini saya pernah membuat laporan sejurus selepas insiden itu berlaku,” katanya.

Dalam laporan pertamanya yang dibuat di balai polis yang sama pada 26 Mac 2006, Yogalinggam berkata, Parthiban telah mendekatinya pada hari berkenaan (26 Mac) untuk memberi amaran kepadanya berhubung satu artikel tulisannya.

“Saya telah menulis mengenai masalah bekalan elektrik yang dihadapi oleh penduduk Bukit Bukit Belimbing, Kuala Selangor serta meminta Majlis Daerah Kuala Selangor untuk berbuat sesuatu mengenainya,” katanya.

“Beliau tidak senang dengan laporan tesebut dan memberi amaran kepada saya supaya jangan menulis lagi artikel seumpama itu. Dalam nada suara mengungut, dia juga memberitahu saya yang dia mahu melihat sejauhmana karier saya sebagai wartawan,” tambah Yohalinggam.

Pada masa itu, Parthiban adalah ahli Majlis Daerah Kuala Selangor dan masih menjadi pengerusi cawangan MIC Bukit Belimbing. Ketika Yohalinggam menulis untuk akhbar harian Tamil Kural. Beliau kini bertugas dengan Malaysia Nanban.

Bimbang taktik kasar BN

Apabila ditanya tentang masa dia membuat laporan keduanya itu, Yohalinggam berkata, ia ekoran semakin meningkatkan taktik kasar yang digunakan oleh petugas BN dalam pilihanraya kecil Ijok sekarang.

“Kita dapat lihat mereka mengganggu dan dalam kes-kes tertentu, memukul mereka yang menentang calon mereka. Saya bimbang, memandangkan saya tinggal di kawasan ini dan membuat liputan mengenai pilihanraya kecil ini, saya juga mungkin menjadi sasaran kerana insiden tahun lalu itu membabitkan Parthiban,” katanya.

Dalam laporan terbarunya, Yohalinggam berkata, beliau bimbang sekiranya Parthiban memenangi pilihanraya tersebut, dia mungkin terus berdendam terhadapnya.

“Saya tidak puashati dengan cara laporan pertama saya disiasat. Saya mahu siasatan dijalankan terhadap aduan saya sebelum hari pengundian,” katanya semalam.

Ketika dihubungi, seorang pegawai polis di balai Kuala Selangor berkata, perkara itu dalam siasatan dan enggan mengulas lanjut mengenainya.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59