Tuesday, 10 April 2007

BAPA YIN MINTA PERTOLONGAN TIMBALAN MURSYIDUL AM


KUALA LUMPUR: Setelah sembilan hari berlalu, keluarga Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, kini berusaha mendapatkan bantuan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Professor Dr Hj Haron Din.

Shamsul Ghazali Shamsudin, bapa kepada kanak-kanak yang hilang itu, berkata beliau akan menemui Dr Haron di kediamannya di Bandar Baru Bangi hari ini bagi membantu mendapatkan sebarang petunjuk untuk mengesan anaknya berusia lima tahun itu.

"Dah macam-macam usaha dibuat, mudah-mudahan dengan menemui Harun Din dan bantuannya, Allah akan memberikan petunjuk dan memudahkan jalan," katanya ketika ditemui Bernama di rumah saudaranya di Subang Jaya dekat sini hari ini.


Beliau berkata sebelum ini ramai pengamal perubatan tradisional menawarkan diri untuk membantunya namun hingga kini belum ada sebarang petunjuk yang tepat tentang kedudukan sebenar anaknya itu.

Muhammad Nazrin dilaporkan hilang lebih kurang pukul 2 petang 31 Mac lepas ketika mengikut ibu bapanya membeli-belah di Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Shamsul berkata melalui seorang bomoh yang ditemuinya sebelum ini, dia menyatakan Yin kini bersama dengan seorang perempuan namun tidak diketahui tempatnya.

"Menurut bomoh tersebut, perempuan itu akan menghantar Yin di tempat dia hilang iaitu di Sogo dalam masa dua atau tiga hari lagi," katanya.

Bagaimanapun, dia masih ragu-ragu tentang ramalan bomoh itu.

Katanya selain usaha tersebut, pelbagai pihak juga turut membantu termasuk melakukan solat hajat termasuk majikannya, Bank Islam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ahmad Ibrahim berkata beliau telah mengarahkan semua polis daerah dan balai-balai di bawahnya melakukan rondaan dan pemantauan setiap hari bagi mengesan kanak-kanak itu.

"Selain itu kita juga turut meminta kerjasama semua kedai-kedai di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit dan Jalan Raja Laut yang mempunyai kamera litar tertutup untuk diperiksa rakamannya sekiranya terdapat imej kanak-kanak menyerupai mangsa," katanya.

Mstar

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59