Friday, 23 March 2007

TANAH RUNTUH DI PUTRA JAYA: PEMUDA GESA SIASATAN MENYELURUH


Walau sehebat mana manusia, mereka pasti tidak dapat menandingi kuasa Allah S.W.T. Itulah hakikat yang mesti diterima oleh manusia.

Bandar Putra Jaya yang digembur-gemburkan sebagai cantik, indah dan mewah dan dibina dengan duit rakyat yang banyak juga tidak terlepas dari kuasa Allah.

Pagi semalam kira-kira 1,200 penduduk dipindahkan selepas sebahagian tebing setinggi 12 meter runtuh ke atas kawasan letak kenderaan dan menimbus 23 buah kereta.

Tanah itu hampir-hampir terkena sebuah rumah yang menempatkan taman asuhan kanak-kanak di satu blok kediaman di situ.

Bagaimanapun tiada sesiapa dilaporkan cedera dalam kejadian pukul 4 pagi tadi.

Penduduk dari 330 unit tiga blok bangunan apartmen 15 tingkat di Precinct 9 di sini diarah berpindah serta-merta oleh polis selepas kejadian tersebut.

Difahamkan satu jawatankuasa khas dibentuk bagi mengkaji keselamatan tebing tersebut kerana terdapat sebuah takungan air, yang menyimpan 40 juta liter air, di atas bukit itu.

Seorang pegawai berkata jawatankuasa itu akan menjalankan ujian tanah dan beberapa lagi ujian bagi menentukan punca kejadian dan untuk memastikan keselamatan kawasan berkenaan.

Pangsapuri mewah itu menempatkan kakitangan kerajaan di beberapa kementerian di bandar baru pentadbiran itu.

Kira-kira 150 anggota polis dikerahkan di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Satu pasukan mencari dan menyelamat SMART dengan 12 anggota dan 36 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, bersama lima anjing pengesan, turut dikejarkan di tempat kejadian.

Apa yang menghairan mengapa kajian terperinci tidak dibuat sebelum pembinaan pangsapuri mewah ini sehingga terjadi kejadian tanah runtuh yang amat merbahaya ini.

Sebenarnya inilah yang selalu berlaku di Malaysia, iaitu kajian tentang keselamatan sesuatu kawasan untuk pembinaan tidak dilakukan dengan terperinci dan telus.

Sementara itu DPP Kawasan Bukit Katil menggesa satu siasatan menyeluruh dan terperinci mesti dilakukan untuk mengetahui sebab utama berlakunya kejadian ini. Jika terdapat sebarang penyelewengan pihak terbabit mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

"Kejadian sungguh memalukan negara kerana Putra Jaya adalah pusat pentadbiran negara, sudah pasti kejadian ini menimbulkan imej tidak baik kepada negara luar" jelas Setiausaha DPP Bukit Katil, Khairuddin Ismail dalam kenyataannya pagi ini.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59