Wednesday, 14 March 2007

SATU LAGI KES RASUAH DIBONGKAR


Dia mengaku telah melakukan kesalahan. Insaf dengan perbuatannya itu, dia membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dua tahun lalu. Tetapi apa yang memeranjatkannya ialah BPR gagal mengambil sebarang tindakan.

Adam Yong Abdullah (Gambar), seorang mualaf, telah mengaku bersubahat dengan pegawai kanan kerajaan dan beberapa orang yang lain untuk menerima habuan dan rasuah melebihi RM600,000 pada tahun 2002 daripada dana awam yang diperuntukkan untuk membantu usahawan bumiputera.

Adam – yang mendakwa mencari pengampunan terhadap kesalahan yang dilakukannya itu – berkata dia sendiri menerima RM50,000 sebagai bayaran ‘komisyen’ daripada julan tiga lot kedai pada harga yang tinggi, kepada kerajaan.

Lot kedai tersebut adalah sebahagian daripada unit kedai di Plaza Melaka Raya – kompleks membeli-belah enam tingkat yang dibina pada akhir 1990-an.

Ketika menjelaskan peranannya dalam bayaran rasuah tersebut, Adam, 51, berkata beliau memeluk Islam tiga tahun lalu. Selepas itu, beliau bersumpah untuk membersihkan dirinya dan bersedia menghadapi akibatnya.

“Manusia boleh menutup mata, telinga dan mulut saya, tetapi bolehkah manusia menyembunyikan perbuatan itu daripada Tuhan yang maha kuasa?” katanya ketika ditemubual malaysiakini.

Apabila diberitahu bahawa dia boleh dihukum mengikut undang-undang, Adam memberitahu malaysiakini bahawa dia bersedia menanggung akibat perbuatannya itu.

Rancangan untuk menipu kerajaan itu cukup mudah. Syarikat tempat Adam bekerja menjual hartanah kepada kerajaan pada harga yang tinggi – kira-kira dua kali ganda daripada nilai pasaran.

Dalam proses tersebut, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan broker yang memeteraikan urusniaga tersebut, akan menerima bayaran yang lumayan. Adam juga telah menerima bahagiannya.

Rasuah setengah juta ringgit

Adam mendakwa wang rasuah RM607,500 telah disalurkan melalui seorang broker, yang dikatakan rapat dengan seorang pegawai tinggi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang kini telah bersara.

Katanya, kedua-dua mereka ini merupakan orang penting dalam urusan penipuan tersebut.

Menurut Adam, harga bagi tiga lot kedai tersebut telah dinaikkan begitu tinggi oleh kedua-duanya sehingga mencapai jutaan ringgit kepada RM4.05 juta dan dijual kepada Lembaga Kemajuan Negeri Melaka di bawah program kementerian tersebut untuk membeli lot kedai untuk disewakan kepada usahawan bumiputera.

Ia terbukti bukan satu keputusan pelaburan yang bijak oleh kementerian berkenaan. Hari ini, kompleks membelibelah itu seperti sebuah bandar hantu – kira-kira 30 peratus daripada 200 lot telah dijual atau disewakan, tetapi hanya 10 peratus daripadanya sahaja yang ada penghuni.

Bagi kementerian itu pula, hanya tiga daripada 12 unit yang dibelinya telah dapat disewakan setakat ini.

“Malangnya, (pegawai berkenaan) tidak betul-betul mengkaji sama ada bangunan tersebut ada potensi menarik pengunjung. Ianya satu dasar yang baik, tetapi tersilap beli,” kata Adam yang mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Rancangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi adalah untuk membeli lot kedai dan menyewakannya kepada usahawan bumiputera pada kadar sewa yang murah untuk memberi mereka peluang untuk maju dalam dalam perniagaan mereka.

Terdapat beberapa kerat sahaja penyewa bumiputera sahaja sehinggakan dua daripada lot tersebut terpaksa disewakan kepada bukan bumiputera – sebuah restoran India dan kedai peniaga Cina menjual barangan sembahyang.

Penerima habuan

Menurut dokumen yang diberikan oleh Adam, Lembaga Kemajuan Negeri Melaka, atau PKNM, merupakan badan rasmi untuk kementerian membeli lot kedai tersebut, dengan menggunakan dana daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

PKNM pada mulanya membeli sembilan unit lot kedai di Kompleks Membelibelah Melaka Raya pada awal 2000. Adam tidak terbabit dalam urusniaga tersebut kerana dia hanya menyertai syarikat yang bertanggungjawab terhadap kompleks membelibelah itu sebagai penasihat korporat pada Oktober 2001.

Pihak pengurusan kompleks tersebut, menerusi Adam ketika itu, telah menawarkan kepada agensi kerajaan itu supaya membeli unit-unit tambahan, tetapi ditolak oleh PKNM.

Bagaimanapun, PKNM mengubah fikiran beberapa bulan kemudiannya. Adalah dipercayai seorang broker dan seorang pegawai kanan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, telah berjaya meyakinkan EPU supaya membeli lebih banyak lot kedai di kompleks membelibelah yang bermasalah itu.

Pada Februari 2002, pegawai tinggi kementerian berkenaan telah menulis surat kepada EPU bagi mendapatkan kelulusan untuk membeli tiga lagi lot kedai di tingkat bawah.

EPU memberi jawapan seminggu kemudiannya, dengan mengatakan pihaknya “tidak ada halangan” dan PKNM kemudiannya menyempurnakan urusniaga tersebut.

Isyarat ketuk meja

Adam mendakwa harga beliannya telah dinaikkan begitu tinggi – kira-kira dua kali ganda daripada harga sebenarnya bagi ketiga-tiga unit lot kedai itu. Unit-unit tersebut akhirnya dijual pada harga RM4.05 juta.

Katanya, rundingan mengenai harga pembelian itu diadakan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 23 Mei 2002 dan “ditetapkan” oleh individu-individu penting yang terbabit dalam urusniaga tersebut.

Sebelum mesyuarat itu diadakan, Adam diberitahu oleh pegawai kanan kementerian tersebut bahawa kerajaan bersedia membayar setinggi RM4 juta bagi tiga lot kedai tersebut.

Di samping Adam dan pegawai tinggi kementerian itu, mereka yang menghadiri mesyuarat penting itu termasuk anggota dari pasukan penilaian dan pegawai kanan yang lain.

Sewaktu mesyuarat tersebut, pegawai kanan berkenaan berpakat dengan Adam, untuk mengetuk meja apabila rundingan harganya mencapai RM4.05 juta – sebagai isyarat kepada Adam bahawa dia menerima tawaran harga tersebut bagi pihak syarikatnya.

Adam mendakwa, komisyen sebanyak 15 peratus telah dibayar kepada beberapa orang yang terbabit dalam urusniaga tersebut, termasuk pegawai-pegawai kerajaan, penilai, broker dan dia sendiri.

“Ia telah diuruskan di mana 15 peratus atau RM607,500 daripada harga belian itu akan dibayar sebagai ‘komisyen’ – lima peratus masing-masing kepada seorang pegawai tinggi kementerian itu dan broker tersebut, dan bakinya diagihkan antara pegawai beberapa agensi kerajaan negeri yang terbabit dalam urusniaga tersebut,” dakwanya.

Daripada jumlah itu, dia menerima RM50,000 dalam bentuk tunai.

Memeluk Islam

Adam berkata dia tidak tahu sama ada wang yang diterimanya itu datangnya daripada bahagian broker berkenaan atau daripada jumlah keseluruhan yang telah diketepikan itu. Dia berhenti daripada syarikat tersebut apabila kontraknya tamat pada Oktober 2002.

Selepas memeluk Islam dua tahun kemudiannya dan atas keinsafan terhadap apa yang telah dilakukannya itu, Adam membuat laporan kepada BPR di Melaka pada Januari 2005.

Ketika dihubungi, BPR Melaka mengesahkan bahawa satu laporan telah dibuat dan kini dalam proses siasatan.

Ditanya mengapa siasatan kes tersebut mengambil masa yang panjang, seorang pegawai di situ berkata, ibupejabat BPR di Putrajaya telah memulangkan kertas siasatan dengan arahan supaya mendapatkan maklumat lebih terperinci.

“Kami telah menyiapkan siasatan, tetapi ibupejabatnya menganggap ianya tidak lengkap. Pegawai penyiasat telah meneruskan siasatan terhadap kes tersebut. Ia masih berjalan,” katanya.

Seorang pegawai Lembaga Kemajuan Negeri Melaka pula meminta malaysiakini supaya menghantar soalan bertulis apabila dihubungi untuk mendapatkan komen. Soalan bertulis itu telah dihantar tetapi sehingga belum ada jawapannya.

Perhatian rakyat

BPR yang dipertanggungjawab untuk menyiasat dakwaan rasuah, kini menjadi tumpuan perhatian rakyat.

Bulan lalu, seorang bekas pegawai kanan BPR telah membuat dakwaan rasuah dan salahlaku seksual terhadap Ketua Pengarah badan itu sendiri, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Bekas pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan, membuat dakwaan itu dalam laporannya yang dihantar kepada beberapa pihak, termasuk Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Bakri Omar.

Zulkipli – yang menjadi ketua pengarah sejak enam tahun lalu – telah menafikan dakwaan tersebut.

Sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pihak polis dan Pejabat Peguam Negara, telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan Ramli terhadap Zulkipli itu.

Dalam satu temubual dengan malaysiakini, Ramli berkata tindakan tidak diambil terhadap banyak siasatan BPR kerana campurtangan daripada pegawai kerajaan.

Dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59