Wednesday, 21 March 2007

SAH DAP BERTANDING DI MACHAP


DAP mengumumkan akan meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Machap pada 12 April ini.

Ketika mengumumkan demikian, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu sidang akhbar di Parlimen bahawa keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat parti itu malam tadi.

Beliau menjelaskan, DAP memutuskan untuk meletakkan calonnya dalam pilihanraya kecil itu kerana parti itu telah bertanding di kerusi berkenaan dalam pilihanraya umum yang lalu.

Lim menegaskan, sepertimana yang dinyatakanya sewaktu pilihanraya kecil Batu Talam (di Pahang) yang lalu, DAP tidak akan memboikot kerusi yang telah ditandinginya sebelum ini.

“Di Batu Talam, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan PAS yang boikot dan kita menerima keputusan mereka. Tetapi jika kerusi itu pernah kita tandingi, kita pasti akan bertanding,” katanya.

Lim berkata, beliau telah memaklumkan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai keputusan DAP itu dan berharap parti itu akan memberi kerjasama.

“Kita telah berbual (mengenainya) malam tadi dan saya tidak mahu mendedahkan butir-butir perbualan tersebut. Jadi, kita telah memaklumkan keputusan kita itu dan kita akan memberi prestasi yang terbaik.

“Saya fikir kedua-dua kami sependapat bahawa yang paling penting ialah untuk meningkatkan peluang calon pembangkang untuk menang dalam pilihanraya kecil ini,” katanya.

Senarai pendek calon?

Kerusi DUN Machap – yang merupakan kubu kuat MCA – menjadi kosong selepas penyandangnya dari MCA, Datuk Wira Poh Ah Tiam meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggangnya berfungsi.

Dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan calon DAP Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,562 undi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bakal calonnya, Lim berkata: “Kita telah membuat beberapa cadangan, tetapi calonnya akan diputuskan oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pengerusi, timbalan pengerusi dan saya sendiri.

“Kita akan umumkan apabila kerajaan (Barisan Nasional) mengumumkan (nama calon mereka),” katanya.

Lim juga ditanya sama ada beliau sendiri yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut, memandangkan beliau pernah bertanding di Kota Melaka sebelum ini.

“Saya tidak akan bertanding, semua orang sudah tahu,” jawabnya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59