Monday, 19 March 2007

POLIS TERUS 'MENGGANAS'


Lima orang ditahan ketika menyertai protes membantah kenaikan kadar tol di luar pusat membelibelah Summit USJ di Subang Jaya, Selangor petang semalam

Mereka ditahan ketika orang ramai yang menyertai protes tersebut berhimpun semula selepas pihak penganjurnya meminta mereka bersurai selepas polis berulangkali memberi amaran mengarahkan mereka berbuat demikian.

Lima orang yang ditahan itu ialah Khairul Anwar, Chan Chee Kong, Saari Sungip, Noor Sairi and Norazimah Mohd Nor. Mereka ditahan di ibupejabat balai polis daerah Subang.


Pada kira-kira jam 8.30 malam, Norazimah telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Sewaktu mereka ditahan, orangramai yang menyertai protes itu masuk ke pusat membelibelah tersebut dan kira-kira 30 daripada mereka bertindak duduk di situ. Mereka kemudiannya diarahkan bersurai dan polis terus mengekori mereka di sekitar kompleks berkenaan.

Dalam proses tersebut, pertandingan senibela diri yang sedang diadakan di tingkat bawah pusat membelibelah itu terganggu dan beberapa kedai kelihatan menutup bidai masing-masing.

Lalulintas di sepanjang Jalan Kewajipan menjadi sesak apabila polis menutup sebelah laluan, walaupun mereka yang menyertai protes itu berhimpun di depan pintu masuk pusat membelibelah itu.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh Protes – gabungan parti pembangkang, kesatuan sekerja, pertubuhan masyarakat dan badan pelajar. Risalah mengenai kenaikan tol itu turut diedarkan kepada orangramai.

‘Strategi’ baru

Ketika berucap sewaktu demonstrasi itu bermula pada jam 4 petang, jurucakap Protes, Tian Chua berkata, protes bulanan membantah kenaikan tol dan menuntut pendedahan perjanjian konsesi, akan diteruskan sehinggalah mendapat jawapan dari pihak kerajaan.

Sejurus selepas itu, beberapa kereta peronda polis yang diletak dekat situ membunyikan siren mereka secara serentak sehingga menenggelamkan ucapan pemimpin pembangkang dan NGO.

Ketika ditanya mengenai tindakan membunyikan siran itu, Ketua Polis Subang Jaya, Cif Supt Jaafar Md Said berkata, ia adalah ‘strateginya’ tetapi tidak mengulas lanjut mengenainya.

Chua membidas tindakan polis itu yang dianggapnya berat sebelah dan tidak profesional.

Mengenai aktiviti perniagaan dan pertandingan senibela diri yang terganggu, Chua yang ditemui kemudiannya, menafikan pihak penganjur protes yang bertanggungjawab.

“Kehadiran polis telah menakutkan pihak pengurusan (pusat membelibelah). Kami berucap di luar (di pintu masuk). Kami telah memberitahu pihak polis yang kami akan hanya berada di situ selama sejam sahaja, tetapi mereka memaksa kami masuk (ketika membuat tangkapan),” katanya.

Satu lagi protes bulan depan

Demonstrasi berikutnya dijadual diadakan pada 22 April di Cheras Leisure Mall.

Demonstrasi pada hari ini adalah yang kelima dianjurkan oleh Protes. Dalam dua daripada empat protes yang diadakan sebelum ini, polis turut membuat tangkapan manakala orang ramai pula mendakwa polis menggunakan kekerasan ketika meleraikan demonstrasi tersebut.

Subang Jaya dipilih sebagai lokasi demonstrasi hari ini kerana penduduk di situ dan di kawasan sekitarnya turut terjejas dengan kenaikan kadar tol di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas) yang masing-masing dinaikkan 47 dan 60 peratus.

Gesaan supaya kerajaan mendedahkan kandungan perjanjian konsesi tol semakin memuncak selepas kadar tol di lima lebuhraya utama di Lembah Klang dinaikkan pada 1 Januari lalu.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59