Thursday, 8 March 2007

OOOOOOOO !!!!!! INI CERITANYA


Rupanya Ketua Pengarah BPR Zulkipli Mat Noor ini telah lama bermusuhan dengan Bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan. Ramli mendakwa bahawa Zulkipli bukan sahaja memiliki harta yang banyak malah Zulkipli juga telah menganiayai beliau. Ramli kehilangan semua keistimewaan sebagai pesara kerajaan antaranya tidak mendapat pencen, gratuiti dan lain-lain faedah.

Ikuti laporan Utusan Meloya di bawah :-

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah, Mohamad Ramli Abdul Manan hari ini menyaman Ketua Pengarah BPR dan lima yang lain kerana mendakwa kehilangan faedah persaraan termasuk pencen dan diturunkan pangkat dengan cara menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Mohamad Ramli, 56, yang menjadi tumpuan selepas laporannya berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor didedahkan mendakwa, beliau telah difitnah, dianiaya dan ditindas melalui tindakan Ketua Pengarah BPR dan lima defendan lain.

Beliau yang hadir tanpa ditemani sesiapa memfailkan writ samannya yang dibuat melalui firma guaman, Tetuan Munjeet Singh & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam saman itu Mohamad Ramli selaku plaintif menamakan Ketua Pengarah BPR, Pengarah Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Setiausaha dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Kerajaan Malaysia serta Star Publications (M) Bhd. selaku defendan pertama hingga keenam.

Ketika ditemui pemberita di tempat letak kereta bangunan Wisma Denmark yang menempatkan Mahkamah Tinggi di sini, Mohamad Ramli berkata, tindakan itu diambil bagi menuntut pencen yang merupakan hak beliau.

‘‘Saya juga berharap untuk mendapat keadilan,’’ ujarnya.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif yang sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai kanan BPR berpangkat Pegawai Siasatan Gred 54 telah bersara wajib ketika mencecah usia 56 tahun pada 8 Disember tahun lalu.

Beliau mendakwa, Pengarah Bahagian Pencen JPA bagaimanapun tidak meluluskan pembayaran pencen, gratuiti dan lain- lain faedah berikutan surat Ketua Pengarah BPR bertarikh 27 November tahun lalu yang menyatakan: ‘‘Pengerusi Lembaga Tindakan Tatatertib Kumpulan Pengurusan pada 26.9.2006 memutuskan kes pegawai berkenaan adalah di bawah Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.’’

Dakwanya, surat Ketua Pengarah itu adalah fitnah kerana perkataan-perkataan itu difahamkan memberi makna beliau akan dibuang kerja atau diturunkan pangkat dan mempunyai sindiran yang beliau telah melakukan kesalahan tatatertib yang cukup serius atau kesalahan jenayah.

Beliau mendakwa kegagalan defendan kedua meluluskan faedah persaraan adalah bertentangan dengan peruntukan Seksyen 9(1) akta Pencen 1980 dan Artikel 13 serta 160 Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Kegagalan itu adalah satu penindasan kerana plaintif tidak ada dikenakan apa-apa prosiding jenayah/tatatertib pada bila-bila masa semasa dalam perkhidmatan sehinggalah tarikh bersara pada 8 Disember 2006,’’ ujarnya.

Plaintif turut mendakwa pertukarannya daripada Pengarah BPR Sabah ke Ibu Pejabat BPR oleh Ketua Pengarah BPR adalah satu penurunan pangkat yang dibuat tanpa sebarang siasatan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif seterusnya berkata, berdasarkan dakwaan Ketua Pengarah BPR yang menyatakan terdapat tindakan tatatertib yang mungkin menyebabkan beliau dibuang kerja atau dibicarakan dalam permohonan bersara awalnya telah menyebabkan Pengerusi SPA dalam sepucuk surat telah memutuskan wujud kes prima facie untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Beliau mendakwa, tindakan setiausaha dan Pengerusi SPA itu adalah berbentuk fitnah kerana tiada sebab yang munasabah surat itu perlu dikeluarkan memandangkan plaintif telah bersara.

Ekoran penindasan dan penganiayaan juga menyebabkan plaintif mendakwa beliau tidak dinaikkan pangkat ke Gred JUSA C dengan gaji bulanan sebanyak RM12,865.

Beliau turut menyaman penerbit akhbar The Star berhubung artikel bertarikh 2 Mac lalu yang menyatakan beliau disiasat di peringkat jabatan kerana tidak hadir bertugas tanpa cuti rasmi sebelum bersara dan tidak akan menerima pencen sementara menunggu keputusan SPA.

Menurutnya, kenyataan itu adalah palsu dan menjatuhkan maruahnya kerana beliau tidak pernah dipanggil untuk siasatan jabatan dan tidak pernah diberikan sebarang surat tunjuk sebab atau menghadapi sebarang pertuduhan.

Sehubungan itu, beliau menuntut defendan kedua meluluskan pembayaran faedah persaraannya dan membuat satu akaun tentang pencen, gratuiti dan lain-lain faedah.

Beliau turut menuntut pemulangan gaji dan bonus yang dilucutkan berjumlah RM8,977.40 dari tarikh 1 Julai 2003, ganti rugi kehilangan kenaikan pangkat dan pendapatan sebanyak RM133,400 beserta faedah serta ganti rugi am.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59