Friday, 30 March 2007

Liou sekali lagi wakili DAP di Machap



DAP sekali lagi memberi kepercayaan kepada ahli perniagaan Liou Chen Kuang untuk bertanding mewakili parti pembangkang itu dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada 12 April ini.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, Liou tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Poh Ah Tiam yang menang dengan majoriti besar 4,562 undi.

Kerusi tersebut kini kosong berikutan kematian Poh, yang juga pengerusi MCA Melaka pada 15 Mac lalu. Machap adalah kawasan majoriti pengundi Cina dan merupakan kubu kuat MCA.

“Sebagai seorang yang mahir dengan selok-belok kawasan tersebut, Liou mendapat sokongan akar umbi di Kampung Permai Machap, Umboo dan Kampung Machap Baru,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menyifatkan Liou sebagai seorang yang “cekap, jujur, mesra dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada pengundi Machap’.

“DAP berharap pengundi di Machap akan memberi peluang kepada ahli perniagaan yang berjaya ini untuk mewakili mereka, menangani masalah mereka, menjadi suara mereka untuk bersuara tanpa rasa takut dalam menentang ketidakadilan,” tambahnya.

DAP akan menggunakan slogan “Machap Demokrasi” – untuk mendidik pengundi mengenai pentingnya demokrasi di Malaysia.

Tugas berat

Liou bagaimanapun dijangka berdepan dengan tugas berat menentang calon BN dari MCA yang belum lagi diumumkan.

Beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh MCA untuk bertanding di Machap, termasuk Ngow Dow Soon (pembantu khas Naib Presiden, Datuk Dr Fong Chan Onn), Lai Meng Chong (setiausaha politik Fong) dan Chew Chong Lim (setiausaha sulitnya).

Pemilihan muktamad akan dibuat oleh Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pengumuman mengenainya dijangka dibuat lewat hari ini.

Dalam satu lagi perkembangan, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai menyifatkan Lim sebagai seorang ‘pelarian politik’ kerana tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Machap.

“Sebagai setiausaha agung DAP yang kini sudah layak bertanding dalam pilihanraya, Lim boleh bertanding di Machap tetapi beliau memilih untuk meninggal Melaka dan berpindah ke Pulau Pinang sebelum pilihanraya kecil itu diadakan,” kata Liow dalam laporan akhbar the Sun.

“Lim adalah dari Melaka, tetapi beliau tidak berani bertanding dalam pilihanraya kecil itu. Jika beliau tidak takut kalah, mengapa beliau tidak bertanding? Sebaliknya beliau berpindah ke Pulau Pinang. Apakah beliau mahu mengelak daripada bertanding....beliau adalah seorang pelarian politik,” katanya.

Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59