Sunday, 11 March 2007

Bina empangan sebab duit Jepun?


Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) meminta kerajaan jangan terburu-buru memutuskan untuk melaksanakan projek Empangan Klau sebaliknya berusaha mencari alternatif lain terlebih dahulu.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri yang mahu meneruskan projek tersebut kerana memberi kebaikan kepada semua pihak, Tuan Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak wajar mengenepikan bantahan rakyat khususnya penduduk Raub yang bakal menerima kesan langsung daripada perlaksanaan projek tersebut.


Beliau berkata, walaupun kerajaan mempunyai kuasa, tetapi tidak salah bagi kerajaan mendengar suara hati rakyat apatah lagi kerajaan berkuasa kerana dipilih oleh rakyat.

“Pandangan rakyat harus diambil kira melain kerajaan merasakan kuasa yang diperolehi bukan daripada rakyat.

“Jika dinegara lain, kerajaan perlu menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan projek besar melalui pungutan suara, apa salahnya kerajaan mengadakan pungutan suara untuk mengetahui pandangan majoriti rakyat dalam isu empangan ini,” katanya ketika ditemui di Pejabatnya.

Beliau menambah, kerajaan sepatutnya mengkaji cadangan lain seperti cadangan mengambil dari sungai Pahang yang lebih besar berbanding membina empangan di sungai Klau yang kecil.

Ini kerana air dari sungai Pahang lebih banyak dan terjamin memandangkan ia mempunyai punca air lebih yang lebih banyak atau membina empangan di Selangor sendiri kerana negeri itu juga mempunyai beberapa buah sungai.

Difahamkan cadangan pembinaan empangan Raub itu menelan kos RM1.5 Billion atas pembiayaan kerajaan Jepun. Projek itu bakal menenggelamkan kawasan seluas 2,300 hektar meliputi penempatan penduduk Orang Asli serta hutan simpan Lakum.

Menurutnya, adalah dibimbangi keghairahan pihak tertentu untuk menyegerakan pembinaan empangan Klau itu bukan berpunya daripada bekalan air ke Selangor tetapi lebih tertarik dengan wang dari Jepun.

Tambah Tuan Ibrahim, beliau bimbang lawatan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ke Jepun sekarang bertujuan mendesak kerajaan Jepun mempercepatkan pemberian wang kepada Malaysia untuk membina empangan Klau.

“Jika ini berlaku, ia adalah sesuatu yang amat malang, kerana pertimbangan kerajaan bukan lagi berasaskan keperluan lain tetapi lebih kepada kepentingan kewangan,” ujarnya.

Pada 8 Febuari lalu, Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakub berkata pembinaan Empangan Klau akan berjalan mengikut jadual dan Keuntungan yang bakal dinikmati oleh kerajaan negeri hasil penjualan air mentah belum dapat dinilai lagi.

“Kenyataan Menteri Besar itu jelas membayangkan dia sudah mencongak berapa banyakkah wang ringgit yang bakal diperolehi menjadi pertimbangan kerajaan dalam menentukan projek berkenaan. Ini diperjelaskan lagi dengan kenyataan Perdana Menteri sendiri.

“Mungkin kerajaan sudah pun mengenal pasti syarikat manakah yang akan diberi kepercayaan untuk membina Empangan itu,” katanya.

Blog : Dari Gaung Hati

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59