Tuesday, 13 February 2007

Tinjauan pendapat: Pengundi Cina dijangka pilih pembangkang


Dua bagi setiap tiga orang pemilih kaum Cina dijangka mengundi parti pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang, demikian menurut hasil tinjauan pendapat yang dijalankan oleh firma penyelidikan, Merdeka Centre.

Enam puluh peratus responden kaum Cina yang menyertai tinjauan tersebut – yang dijalankan antara bukan Oktober dan Desember tahun lalu – berkata sudah tiba masanya untuk mengundi pembangkang supaya suara mereka didengar. Bagaimanapun, 22 peratus lagi responden tidak bersetuju.

Mengenai responden Melayu dan India, masing-masing 32 dan 33 peratus dijangka mengundi pembangkang. Ini menunjukkan Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat sokongan majoriti kumpulan tersebut.

Responden kaum Cina pula memperlihatkan keinginan ke arah perubahan kerana majoritinya tidak menyokong kerajaan dan tidak puashati dengan kemampuan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat.

Tinjauan pendapat itu – yang membabitkan 1,025 responden yang berusia 16 tahun ke atas – cuba menganalisa arah aliran pengundian bagi pilihanraya umum yang akan datang, yang dijadual pada April 2009. Penganalisa politik meramalkan pilihanraya umum akan diadakan awal tahun depan.

Jumaat lalu, malaysiakini melaporkan bahawa responden Cina rasa tidak puashati dengan keadaan ‘ekonomi’ negara yang ‘tiada haluan’, kenaikan harga barangan dan kadar inflasi.

Ketika diminta mengulas mengenai hasil tinjauan tersebut, Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, beberapa tinjauan lagi perlu dilakukan bagi mengesahkan sama ada pengundi Cina benar-benar akan menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, nampaknya besar kemungkinan mereka akan demikian sebagai tanda protes mereka dalam pilihanraya akan datang.

Beliau bagaimanapun berpandangan, parti-parti politik kaum Cina dalam BN mampu menangani sentimen negatif ini sebelum pilihanraya umum akan datang diadakan.

“Banyak langkah yang boleh diambil untuk menangani keadaan ini, seperti dalam sektor pendidikan. Harga minyak dunia yang rendah mungkin mendorong kerajaan untuk menurunkan harga minyak – satu langkah yang boleh memberi kesan besar terhadap para pengundi,” katanya.

Ibrahim berkata, projek-projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga dijangka memberi hasil dan akan dijadikan tanda beliau telah mengotai janjinya.

Harga barangan baik

Menjelaskan mengenai kecenderongan pengundi Melayu untuk mengekalkan status quo, Ibrahim berkata, masyarakat berkenaan telahpun “dilindungi” oleh kerajaan dalam segi pendapatan.

“Majoriti pengundi Melayu (di kawasan luar bandar) memperolehi pendapatan yang memuaskan. Pilihanraya kecil Batu Talam adalah signifikan dalam menunjukkan bahawa pengundi di kawasan luar bandar puas hati dengan keadaan ekonomi,” katanya.

Sokongan masyarakat tersebut kepada BN dilihat dalam jawapan mereka terhadap satu soalan di mana 64 peratus responden daripada kaum tersebut berkata, mereka akan menyokong kerajaan; 28 peratus tidak bersetuju dan hanya empat peratus menjawab “mungkin”.

Responden dari kalangan kaum Cina dan India pula berbelah-bagi terhadap soalan tersebut.

Mengenai kemungkinan satu pertiga responden India akan mengundi pembangkang, Ibrahim berkata, ini disebabkan oleh kekurangan kepimpinan alternatif. Ramai daripada mereka prihatin terhadap nasib masyarakat tersebut dan ini menjadi faktor utama apabila mereka membuat keputusan untuk mengundi.

Perlu pembangkang yang kuat

Jika dilihat berdasarkan kategori pekerjaan pula, pengundi dalam sektor awam yang majoritinya kaum Melayu kurang cenderung untuk mengundi pembangkang (33 peratus), diikuti oleh surirumah (38 peratust), pesara dan golongan bekerja sendiri (masing-masing 39 peratus).

Golongan peniaga (63 peratus) dan kakitangan di sektor swasta (46 peratus) dijangka mengundi pembangkang.

Keseluruhannya, 63 peratus responden bersetuju perlunya ada pembangkang yang kuat tetapi ini tidak semestinya diterjemahkan menjadi undi. Ibrahim mengingatkan bahawa parti pembangkang Melayu, seperti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berdepan dengan cabaran yang hebat dalam mengetengahkan diri mereka sebagai parti pembangkang yang berwibawa.

“Kecuali mereka mempunyai isu-isu tempatan yang boleh dimainkan, gambaran di peringkat nasional tidak menyebelahi mereka,” hujahnya, sambil menambah bahawa parti-parti pembangkang perlu memperkasakan komunikasi mereka dengan rakyat akar umbi.

“PAS telah menunjukkan kejayaan yang telah dicapai parti sejak pilihanraya umum 2004 dan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir (Disember 2005). PKR, yang masih dianggap sebuah parti baru, telah pun mengumumkan rancangannya,” katanya.

Sambil menunjukkan pemisahan (lihat carta) antara Melayu dan bukan-Melayu mengenai isu penarikan balik keistimewaan ekonomi, sebagai contohnya, Ibrahim berkata, PKR – yang memperjuangkan Agenda Ekonomi Baru – perlu lebih agresif dalam menjelaskan butiran mengenai rancangan ekonominya.

Populariti Abdullah

Menurut Ibrahim, tinjauan itu juga mendapati Perdana Menteri masih menikmati populariti yang tinggi.

“Berdasarkan pengalaman kami, rakyat bersikap lebih terbuka dalam (memperkatakan) isu-isu, tetapi apabila ia menyentuh soal persepsi dan niat mengundi, mereka biasanya bersikap lebih berhati-hati,” katanya.

Sama ada Abdullah boleh mengekalkan popularitiny atau tidak dalam pilihanraya umum akan datang, ia akan dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk penunaian janjinya, prosedur pentadbiran dan hasil usaha memerangi rasuah.

Ibrahim berkata, sebahagian besar bukan Melayu merasakan mereka tidak mendapat faedah daripada dasar-dasar ekonomi walaupun pada umumkan mereka berpandangan positif terhadap apa yang ditawarkan oleh Abdullah.

Hasil tinjauan itu juga menunjukkan 56 peratus responden berpendapat masalah Abdullah adalah berpunca daripada legasi yang diwarisinya daripada Perdana Menteri sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala 36 peratus lagi tidak bersetuju.

Dr Mahathir telah mempertikaikan keputusan pentadbiran Abdullah sejak tahun lalu.Abdullah menggantikan Dr Mahathir pada 2003.

Dipetik dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59